SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak Sultan Selangor Bawah 15 tahun (B-15) selepas menewaskan SMK Tinggi Kajang menerusi penentuan sepakan penalti 10-9 pada aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu.
Kejayaan itu diraih dalam aksi penuh dramatik apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat 90 minit permainan sebelum SMK Meru memastikan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti.
Dalam perlawanan tersebut, SMK Meru terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Aqil Erfan Norezmy Aizul.
Bagaimanapun, SMK Tinggi Kajang bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Norman Hafy Nor Najirul Hayat pada penghujung babak pertama.
SMK Meru kembali menguasai permainan apabila Aariz Iskandar Mohd Riduan meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-61 untuk meletakkan mereka di hadapan.
Ketika kemenangan seakan memihak kepada SMK Meru, Mohd Fayyad Zaquan Danian Mohd Fakrie muncul penyelamat SMK Tinggi Kajang apabila meledak gol penyamaan pada penghujung babak kedua sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Dalam penentuan tersebut, SMK Meru akhirnya mengatasi SMK Tinggi Kajang 10-9 untuk mengesahkan kejuaraan dan membawa pulang pingat, piala iringan serta wang tunai RM12,000.
SMK Tinggi Kajang selaku naib juara menerima pingat dan wang tunai RM9,000, manakala tempat ketiga menjadi milik SMK Bandar Baru Batang Kali yang membawa pulang RM7,000.
SMK Bandar Baru Bangi pula menamatkan saingan di tempat keempat dengan menerima wang tunai RM5,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kejohanan berkenaan dianjurkan bersempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kejohanan itu mendapat tajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.