PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) pada kongres badan induk itu di Bangkok, Thailand pada 9 Disember.
Mohd Sumali berkata telah menghantar borang pencalonan secara rasmi pada Sabtu dengan PSM turut mencadangkan supaya beliau bertanding untuk jawatan itu, mengambil kira kepentingan untuk wakil Malaysia terlibat pada peringkat Asia dan antarabangsa.
"Keberadaan wakil kita dalam Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan ISTAF penting supaya suara, pendapat dan cadangan kita demi kebaikan sepak takraw negara serta dunia dapat didengari dalam badan induk tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan PSM di sini pada Sabtu.
Mohd Sumali yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden ASTAF berkata, lebih selesa merebut jawatan nombor dua ISTAF bagi membolehkannya mengimbangi tanggungjawab pada peringkat antarabangsa dengan komitmen terhadap pembangunan sepak takraw negara.
"Jawatan Presiden ISTAF sudah tentu mempunyai tanggungjawab lebih besar dan memerlukan komitmen serta fokus yang tinggi. Dengan komitmen sekarang, saya lebih selesa bertanding jawatan timbalan presiden supaya masih dapat membantu ISTAF dan dalam masa sama memberikan tumpuan kepada PSM,” katanya.
Mohd Sumali berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan PSM memperoleh dana dan peruntukan mencukupi bagi memperkukuh pembangunan sukan itu di dalam negara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PSM merancang melakukan rombakan struktur kejurulatihan melibatkan skuad lelaki, wanita, program Podium dan Pelapis serta chinlone kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.
Beliau berkata, rombakan itu bagi memastikan setiap skuad mendapat bimbingan jurulatih khusus, selain memperkukuh pembangunan pemain wanita yang memerlukan perhatian lebih serius bagi meningkatkan daya saing pada peringkat antarabangsa.
"Kita perlukan jurulatih khusus untuk skuad wanita dan pelapis selain jurulatih chinlone. Kita juga sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat jurulatih Thailand bagi membantu melatih pemain wanita sama ada untuk jangka pendek atau panjang,” katanya. - Bernama