Anutin sedia dengar suara Gen Z

Iklan
Demonstran melaungkan slogan merujuk kepada nama panggilan Anutin iaitu 'Noo' bermaksud tikus dalam bahasa Thai. Foto: Agensi

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada Sabtu menegaskan kerajaannya bersedia untuk mendengar tuntutan daripada golongan penunjuk perasaan Generasi Z (Gen Z).

Beliau turut menolak kebimbangan bahawa demonstrasi tersebut boleh mencetuskan kekacauan seperti gerakan yang dipimpin oleh golongan belia di negara lain.

Iklan
Iklan

Anutin yang juga memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan menghormati hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan untuk menyuarakan pendapat dan mengadakan demonstrasi, selagi aktiviti tersebut dilakukan mengikut undang-undang.

Kenyataan tersebut dibuat ketika demonstrasi melibatkan golongan muda berlangsung bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani beberapa isu dan menuntut perubahan politik.

Iklan

Anutin menegaskan bahawa kerajaan tidak mengabaikan tuntutan para penunjuk perasaan dan mempunyai mekanisme tertentu untuk menerima, melaporkan serta menilai setiap tuntutan yang dikemukakan.

Menurutnya, pihak yang berkaitan akan meneliti cadangan tersebut bagi menentukan tuntutan yang boleh dilaksanakan secara realistik dan mengenal pasti agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Iklan

"Kerajaan bersedia untuk mendengar setiap tuntutan selagi rakyat menggunakan hak mereka mengikut undang-undang dan mempertimbangkan penyelesaian yang bersesuaian," katanya.

Pada Jumaat, pelajar dan aktivis belia berkumpul di Monumen Demokrasi Bangkok bagi menuntut reformasi pendidikan, penglibatan golongan muda yang lebih besar dalam proses penggubalan dasar serta tindakan daripada kerajaan pimpinan Anutin.

Pihak penganjur menegaskan bahawa demonstrasi tersebut merupakan gerakan bebas dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh rangkaian pelajar termasuk Studem Network dan Free Thai Youth. Demonstrasi itu juga diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan membawa tema 'Pakai Telinga Kucing untuk Menghalau Noo'.

Slogan tersebut merupakan permainan kata yang merujuk kepada nama panggilan Anutin, iaitu 'Noo' yang bermaksud tikus dalam bahasa Thai. Gelaran tersebut sememangnya sering dikaitkan dengan beliau. - Agensi