SHAH ALAM – Dua pekerja maut selepas terperangkap dalam pusaran air ketika menjalankan kerja pembersihan saluran tersumbat di kolam takungan air hujan sebuah premis perkhidmatan kebersihan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi Rabu lalu itu melibatkan dua pekerja warga tempatan berusia 27 dan 30 tahun yang dipercayai terperangkap di dalam lubang overflow chamber sebelum meninggal dunia akibat lemas.
Iklan
Iklan
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang menjalankan kerja penyelenggaraan serta membersihkan sampah yang menyumbat saluran di bahagian overflow chamber kolam berkenaan.
Menurut jabatan itu, keadaan berubah apabila laluan air dibuka, sekali gus menyebabkan pusaran air kuat yang mengakibatkan kedua-dua pekerja terperangkap dalam lubang tersebut.
“Seorang lagi pekerja yang berada di lokasi kejadian berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Susulan insiden berkenaan, JKKP Selangor mengeluarkan Notis Larangan terhadap kerja pembersihan overflow chamber yang tersumbat serta Notis Pembaikan kepada majikan berikutan kegagalan melaksanakan pentaksiran risiko bagi aktiviti berkenaan.
Jabatan itu turut meneruskan siasatan dengan memanggil pihak majikan dan saksi kejadian untuk membantu melengkapkan proses siasatan.