KANGAR - Pengarah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditahan kerana disyaki melakukan pecah amanah melibatkan wang pertubuhan berjumlah RM85,468 direman empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Perlis Deputi Superintenden, Hamzah Hashim berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar Rashidah Azmi.
Sebelum ini, Hamzah mengesahkan penahanan suspek oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di pintu ketibaan domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 11.05 pagi semalam.
Beliau berkata, NGO tersebut beralamat di Perlis dan wang RM85,468 itu dipercayai dipindahkan menerusi 32 transaksi ke akaun peribadi suspek dari 2 Mac hingga 20 Julai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. - Bernama