KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga asing dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah motosikal dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Jelatek di sini pada Sabtu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 43 tahun itu menunggang motosikal sedang bergerak dari arah Taman Keramat menghala ke Setiawangsa.
Beliau berkata, ketika kejadian, lampu isyarat di laluan mangsa menunjukkan warna hijau.
"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, ujian saringan alkohol terhadap pemandu kereta menggunakan alat EBA II menunjukkan bacaan sifar, manakala ujian saringan air kencing turut didapati negatif.
"Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi permohonan reman pada Sabtu untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.