SHAH ALAM - Kerajaan digesa memperkukuh strategi pencegahan tindakan mengakhiri hidup dalam kalangan pelajar secara menyeluruh susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes yang menjadi isu nasional serius dan memerlukan tindakan segera.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha itu termasuk memperkukuh perkhidmatan kaunseling di sekolah dengan memastikan bilangan kaunselor terlatih mencukupi serta menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan sokongan sulit dan selamat.
Menurutnya, langkah membanteras gejala buli dan buli siber juga perlu dipertingkat melalui mekanisme aduan yang berkesan, tindakan segera serta pendekatan toleransi sifar terhadap segala bentuk gangguan dan intimidasi.
"Guru juga perlu diberikan latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran awal dan bertindak dengan penuh empati, kefahaman serta intervensi yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Lam Thye turut menekankan kepentingan penglibatan aktif ibu bapa dan keluarga dalam mewujudkan persekitaran rumah yang menyokong agar anak-anak berasa selamat untuk berkongsi ketakutan dan masalah mereka tanpa dibayangi rasa takut dihakimi.
Beliau turut menggesa supaya sokongan susulan dan intervensi selepas kejadian diwujudkan secara berkesan kepada pelajar yang terjejas akibat cubaan bunuh diri atau kejadian bunuh diri bagi mengelakkan tragedi berulang.
Jelasnya, isu seumpama itu dalam kalangan pelajar tidak boleh ditangani semata-mata sebagai kes individu kerana ia mungkin berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.
Menurutnya, faktor berkenaan termasuk buli, buli siber, tekanan akademik, masalah keluarga, pengasingan sosial serta masalah kesihatan mental yang tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa setiap kes perlu diteliti dengan cermat tanpa membuat sebarang kesimpulan terburu-buru.
"Kita tidak boleh terus menunggu sehingga satu lagi nyawa muda terkorban sebelum mengambil tindakan," tegasnya.