Produk kesihatan, kosmetik dan makanan dari China bernilai RM1.27 juta dirampas

Iklan
Pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan dirampas menerusi Op Taring Dosej pada Khamis.

KUALA LANGAT – Pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan dari China bernilai RM1.27 juta dirampas dalam serbuan di sebuah premis logistik di sini pada Khamis.

Serbuan kira-kira jam 12.10 tengah hari menerusi Op Taring Dosej itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dua individu ditahan merupakan warga Bangladesh yang bekerja di premis terbabit.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan berjenama dari China yang disyaki melibatkan pelbagai kesalahan di bawah perundangan berkaitan.

Iklan

"Antara barangan dirampas ialah 1,044 kotak pelbagai produk kesihatan dan kosmetik, 1,300 botol produk suplemen serta kesihatan, 38 kotak produk sup dan 65 kotak produk suplemen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Klang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat serta Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Iklan

"Pihak berkuasa turut merampas pelbagai produk makanan dan minuman berasaskan teh serta makanan ringan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,271,802 dengan KKM merekodkan nilai tertinggi iaitu RM1,261,890, diikuti Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat sebanyak RM5,167 dan KPDN (RM4,745)," katanya.

Mohd Zaki berkata, pemeriksaan turut mengenal pasti beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat turut mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM4,500, manakala MPKL mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM2,000 atas kesalahan berkaitan.

"Semua barang rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu membuktikan komitmen berterusan WCB/PSK dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti penyimpanan dan pengedaran produk yang melanggar undang-undang.

"Kita akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan risikan bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras," katanya.