SUBANG JAYA - Pekerja asing di sebuah kilang yang menawarkan perkhidmatan dobi kepada hotel serta kolej di sini hanya mampu terkedu selepas dikejutkan dengan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.
Operasi bermula jam 10 pagi digerakkan JIM Selangor hasil maklumat dan aduan.
Sinar Harian yang mengikuti operasi berkenaan mendapati tiada kejadian tidak diingini berlaku dan rata-rata pekerja asing ditahan ketika sedang leka melakukan kerja masing-masing.
Pasukan operasi turut bertindak pantas dengan melakukan kepungan di sekitar premis selain pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada warga asing yang terlepas daripada pemeriksaan.
Seorang pekerja warga Indonesia berusia lingkungan 30-an mendakwa, dia dihantar bekerja di kilang terbabit dengan bayaran gaji kira-kira RM2,000.
"Bos hantar saya ke sini (kilang) dan bekerja sejak tiga bulan lalu," katanya selepas pemeriksaan mengesyaki permit pas kerjanya mencurigakan kerana memaparkan alamat bekerja di Kuala Lumpur.
Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 30 warga asing terdiri dariada 28 lelaki dan dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, semakan mendapati tangkapan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Nepal dan Thailand.
"Antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas serta tinggal lebih masa.
"Contoh langgar syarat pas yang dikesan ialah sepatutnya bekerja dalam sektor perkhidmatan atau perladangan, namun bekerja di sektor berlainan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Tambahnya, JIM Selangor turut mengeluarkan Borang 29 (Saman Saksi) kepada seorang warga tempatan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua tangkapan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi dengan kesalahan membabitkan warga asing.