SHAH ALAM - Padah menggajikan dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), seramai 157 majikan dikenakan tindakan dengan kompaun berjumlah RM3.8 juta oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, jumlah itu membabitkan majikan tempatan dan asing.
“JIM mengingatkan semua majikan di negeri ini (Selangor) agar menggajikan pekerja asing dengan sah.
"Pastikan alamat yang digunakan betul, tidak boleh gunakan lokasi A misalnya, tapi bekerja di sektor berlainan seperti perladangan dan perkilangan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Imigresen Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, antara alasan yang sering digunakan majikan ialah mahu mengurangkan kos serta tidak cukup pekerja.
Tambahnya, kebiasaan kesalahan ini dikesan dalam sektor pembinaan dan perladangan.
“JIM Selangor dari semasa ke semasa akan terus menguatkuasakan undang-undang dan majikan diingatkan untuk terus memastikan pekerja di tempat yang betul, usah gunakan pekerja asing yang tidak sepatutnya.
“Walaupun amaran sering ditekankan JIM, kita masih kesan kesalahan ini berlaku dan ada majikan yang masih berdegil,” ujarnya.
Tegasnya, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda minimum RM10,000 hingga maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang digaji.