Kematian pelajar SBP: Rakaman CCTV diserahkan kepada polis - Fadhlina Sidek

Iklan
Fadhlina

SHAH ALAM - Kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak disahkan berfungsi dengan baik.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, oleh itu rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan pada jam 9 pagi esok

"Saya memandang serius kejadian ini dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

Iklan

"Beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.

"Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada hari Jumaat, 20 November 2026. Bantuan psikososial juga telah diberikan kepada mereka yang terkesan," ujarnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Iklan

Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 6 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM arah siasatan menyeluruh, telus kes kematian pelajar di Perak

Kematian pelajar SBP: Kerajaan Perak zahir takziah, minta JPN sedia laporan penuh insiden

Kematian pelajar SBP: JPN arah sekolah beri kerjasama penuh siasatan polis

Pelajar Tingkatan 3 SBP ditemukan maut dalam sekolah

Tambah Fadhlina, beliau turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.

Pada masa sama Fadhlina menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan.

"Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa.

"Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan. Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga.

"Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa," ujarnya.