ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyokong cadangan pembukaan pintu sempadan baharu Malaysia-Thailand di Kota Aur, Belantik, Sik, yang berpotensi merancakkan hubungan kekeluargaan serta pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana kawasan berkenaan menghubungkan komuniti Melayu di kedua-dua negara sekali gus mempunyai pertalian budaya dan kekeluargaan.
Menurutnya, kewujudan pintu sempadan baharu itu dapat memudahkan pergerakan penduduk khususnya mereka yang mempunyai hubungan saudara-mara merentasi sempadan Malaysia-Thailand.
"Kalau Kota Aur itu, saya kata bagus, saya sokonglah. Kalau kerajaan Persekutuan tanya saya, saya akan sokong.
"Saya mengalu-alukan jika ada satu pintu sempadan baharu Malaysia-Thailand yang menemukan di sini Kampung Melayu, di sana pun Kampung Melayu. Akan ada pertautan budaya, pertautan saudara-mara, adik-beradik.
Beliau berkata demikian ketika media selepas sesi penggulungan Persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.
Sanusi berkata, kawasan sekitar Kota Aur juga mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berikutan kedudukannya berhampiran Empangan Muda dan Pedu.
Katanya, pembukaan laluan sempadan itu berpotensi menarik kedatangan pelancong dari Thailand, sekali gus membuka peluang pembangunan bandar pelancongan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mengetahui sejauh mana perkembangan perbincangan antara pihak Thailand dengan kerajaan Malaysia berhubung cadangan itu.
"Saya tak tahu sejauh mana perbincangan dia dengan pihak Malaysia. Dia ada beritahu akan bercakap dengan pihak kerajaan Thailand dan kerajaan Malaysia," katanya.