GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang didakwa gagal melindungi kepentingan rakyat apabila Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diwajibkan membayar RM210 juta setahun kepada Perak selama 40 tahun walaupun tiada jaminan bekalan air terawat diterima sebagai balasan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, perjanjian di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) itu boleh menyebabkan PBAPP menanggung bayaran keseluruhan sehingga RM24.6 bilion sepanjang tempoh berkenaan, bermula 31 Mac 2032.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.4 bilion merupakan caj kapasiti manakala RM16.2 bilion lagi adalah caj bekalan air terawat.
Menurutnya, perkara itu didedahkan oleh lima pengarah bebas PBA Holdings Bhd (PBAH), syarikat induk PBAPP yang secara rasmi membantah cadangan pembelian air terawat berjumlah RM24.6 bilion ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBAH pada 12 November lalu.
"Kebimbangan utama lima pengarah berkenaan adalah kewajipan PBAPP untuk terus membayar caj kapasiti RM210 juta setahun walaupun bekalan air terawat yang diterima kurang daripada kuantiti dipersetujui iaitu 300 juta liter sehari, atau dalam keadaan paling buruk, langsung tidak menerima bekalan air.
“Lima pengarah bebas yang membantah itu merupakan golongan profesional kanan berpengalaman, terdiri daripada Datuk Brian Tan Guan Hooi, Lim Eng Huat, Nor Hatina Md Salleh, Lim Seang Lee dan Raja Azmi Raja Nazuddin,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, EGM PBA Holdings Bhd baru-baru ini meluluskan cadangan pembelian bekalan air terawat secara pukal dari Perak di bawah NPWSS yang dijadual bermula pada 31 Mac 2032.
Kon Yeow berkata, cadangan itu mendapat sokongan 97.93 peratus undi oleh pemegang saham sekali gus memenuhi satu daripada dua syarat terdahulu dalam perjanjian pembelian air pukal antara PBAPP dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd.
Beliau yang juga Pengerusi PBAHB berkata, selepas bekalan air diterima di sempadan kedua-dua negeri, PBAPP bertanggungjawab mengagihkannya kepada pengguna di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, pelaksanaan perjanjian itu masih tertakluk kepada satu lagi syarat terdahulu iaitu pihak Perak perlu memperoleh kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terhadap struktur tarif yang dipersetujui, termasuk caj kapasiti dan caj bekalan.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri turut mempersoalkan kegagalan Kon Yeow dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberikan penjelasan berhubung kewajipan pembayaran berkenaan yang disifatkannya membebankan rakyat negeri ini.
Menurutnya, walaupun caj kapasiti berjumlah RM8.4 bilion itu merupakan bayaran tetap, caj bekalan pula berpotensi meningkat berikutan tarif asas air terawat yang dijual Perak kepada PBAPP bermula pada kadar RM1.70 bagi setiap meter padu.
Katanya, tarif berkenaan dijangka meningkat kepada RM7.21 bagi setiap meter padu sepanjang tempoh 40 tahun, malah berpotensi meningkat lebih tinggi selepas semakan kontrak yang dijadualkan selepas 22 tahun.
Beliau menambah, tarif asas itu juga berkemungkinan meningkat lagi sebanyak RM1 bagi setiap meter padu bagi menampung kos lain yang ditanggung PBAPP sebelum harga sebenar kepada pengguna ditentukan.
“Walaupun kita boleh mempersoalkan sama ada tarif asas air terawat yang dibeli PBAPP daripada Perak terlalu tinggi atau melampau, sekurang-kurangnya kita membayar untuk sesuatu yang diterima iaitu air terawat.
“Namun, kontroversi sebenar yang mencetuskan bantahan lima pengarah bebas PBAH adalah kewajipan membayar caj kapasiti RM210 juta setiap tahun selama 40 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana kepentingan rakyat Pulau Pinang dapat dilindungi sekiranya PBAPP tetap diwajibkan membuat pembayaran berkenaan walaupun Perak gagal membekalkan jumlah minimum 300 juta liter air terawat sehari.
"Perjanjian itu tidak adil, tidak rasional dan bertentangan dengan prinsip tadbir urus baik serta kepimpinan bertanggungjawab.
"Keadaan itu juga berisiko menghakis keyakinan awam sekiranya rakyat mengetahui PBAPP perlu membayar RM210 juta setiap tahun tanpa menerima sebarang bekalan air sebagai balasan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, syarikat itu tidak menanggung perbelanjaan modal bagi projek berkenaan kerana semua kos pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan loji rawatan air berkapasiti 500 juta liter sehari (JLH) serta perbelanjaan operasi berkaitan pengeluaran dan penghantaran air terawat ditanggung oleh pihak Perak.
Beliau berkata, PBAPP juga tidak perlu membuat sebarang bayaran kepada pihak Perak sekiranya syarat kelulusan tarif oleh SPAN tidak dipenuhi dan perjanjian tidak dapat diteruskan.