Kedah mohon Langkawi dimaksudkan semula dalam LTdL

Iklan
LTdL 2026 dijadual yang diadakan dari 27 September hingga 4 Oktober lalu.

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah bersedia mengadakan perbincangan berterusan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) agar mengembalikan laluan asal Le Tour de Langkawi (LTdL) pada edisi akan datang.

Exco Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din berkata, sudah tiba masanya melihat semula kedudukan Pulau Langkawi dalam penganjuran berptestij itu sekali gus kesesuaiannya sebagai produk pelancongan antarabangsa.

Iklan
Iklan

Muhammad Radhi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu berkata, dalam masa sama bertujuan mengembalikan semula identiti dan keistimewaan Langkawi sebagai destinasi utama perlumbaan sesuai dengan nama dan sejarah penganjurannya.

"Penegasan saya, nama Le Tour de Langkawi itu sendiri mempunyai nilai jenama dan pengiktirafan antarabangsa. Maka, adalah wajar Pulau Langkawi terus diberikan tempat yang istimewa dalam perlumbaan ini,"katanya.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Ghafar Saad (Bersatu-Guar Chempedak) berhubung usaha mengembalikan Langkawi sebagai laluan asal LTdL pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Tambahnya, beliau mahukan, apabila LTdL disebut di peringkat antarabangsa, Langkawi bukan sekadar dikenali sebagai nama perlumbaan tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada kemuncak acara dan identitinya.

Iklan

"Inilah perkara yang akan terus kita perjuangkan demi mengangkat nama Kedah dan memajukan industri pelancongan Pulau Langkawi,"katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberikan sokongan dari segi kemudahan logistik, pengangkutan, keselamatan, infrastruktur dan penyelarasan agensi berkaitan bagi memastikan penganjuran di Langkawi dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Sekiranya Langkawi menjadi lokasi penamat, ia bukan sekadar memberikan nilai simbolik kepada perlumbaan ini, malah berpotensi memanjangkan tempoh keberadaan pelumba, pasukan, pegawai, media dan pengunjung di Langkawi.

"Ini akan memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha hotel, restoran, pengangkutan, peniaga kecil dan industri pelancongan tempatan," jelasnya.

Penganjuran LTdL 2026 baru-baru ini mencipta sejarah apabila laluannya diubah di mana puncak Gunung Jerai di Kedah buat julung kalinya dipilih sebagai destinasi baharu yang menguji ketahanan fizikal pelumba.

Pemilihan laluan itu sekali gus menyaksikan Pulau Langkawi tidak dimasukkan dalam laluan perlumbaan edisi kali ke-30 tersebut.