PADANG BESAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengesan dua kes berkaitan pemandu wanita menawarkan khidmat pengangkutan penumpang wanita tanpa lesen perkhidmatan sah yang dipromosikan menerusi platform media sosial seperti Telegram dan Threads.
Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, perkhidmatan itu menawarkan perjalanan ke lokasi tertentu termasuk hospital, pusat beli-belah dan rumah saudara-mara dengan bayaran tertentu.
"Perkhidmatan pengangkutan penumpang tanpa lesen perkhidmatan sah bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan penumpang, khususnya aspek perlindungan insurans serta jaminan kebajikan,” katanya pada sidang media di sini.
Noraini berkata, kegiatan perkhidmatan seperti prebet sapu itu dikesan menerusi pemantauan terhadap iklan dalam platform media sosial selain aduan daripada orang awam dan pengusaha perkhidmatan e-hailing berlesen.
Beliau berkata, kegiatan menggunakan kenderaan persendirian untuk membawa penumpang dengan mengenakan bayaran atau upah tanpa kelulusan sah menjadi kesalahan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan dengan itu, Noraini berkata, dalam usaha membanteras kegiatan prebet sapu, sebanyak 31 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dari Januari hingga Oktober lepas manakala 14 kenderaan disita untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, tindakan pendakwaan di mahkamah berkaitan kesalahan itu dalam tempoh sama melibatkan denda berjumlah RM14,000.
Dalam perkembangan lain, Noraini berkata, pihaknya mengeluarkan 1,068 notis terhadap pemandu warga Thailand dan kenderaan berdaftar Thailand bagi tempoh sama selain menyita 16 kenderaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,040 notis melibatkan lima kategori kesalahan, iaitu pelesenan pemandu (84), pelesenan kenderaan (37), teknikal (211), cermin gelap (347) dan kesalahan lain (361).
Selain itu, beliau berkata, bagi tempoh 2025 hingga Oktober lepas, kutipan saman termasuk bayaran tunggakan saman daripada tindakan terhadap kenderaan berdaftar Thailand berjumlah RM257,430 manakala dua kenderaan dilucuthak mengikut peruntukan undang-undang. - Bernama