BUKIT MERTAJAM – Belum pun mencecah usia setahun, seorang bayi perempuan terpaksa bergantung kepada alat bantuan oksigen di hospital akibat masalah jantung berlubang yang dihidapinya.
Lebih meruntun hati, bayi berusia lapan bulan itu, Nur Sofia Zahirah Mohamad Alamin bukan satu-satunya ahli keluarga yang berdepan masalah berkenaan apabila ibu dan kakak sulungnya yang berusia sembilan tahun turut mempunyai sejarah penyakit jantung berlubang sejak kecil.
Kini, keluarga berkenaan berdepan ujian getir apabila Nur Sofia memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Bapanya, Mohamad Alamin Abdullah, 52 berkata, anak bongsunya itu dilahirkan pramatang pada usia kandungan 34 minggu dengan berat hanya 1.9 kilogram (kg).
Menurut Mohamad Alamin, pada awalnya, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan pulang ke rumah selepas seminggu dilahirkan.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya mula merosot apabila mengalami sesak nafas dan demam ketika berusia tujuh bulan sebelum dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza.
“Ketika pemeriksaan, doktor mengesan bunyi tidak normal pada jantungnya sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan dia mengalami kecacatan septum ventrikel (VSD) iaitu terdapat lubang berukuran satu sentimeter (cm) pada dinding pemisah antara dua ruang bawah jantung.
“Keadaannya kini kritikal sehingga memerlukan bantuan oksigen di hospital sejak sebulan lalu dan doktor memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan dengan segera,” katanya.
Mohamad Alamin berkata, kos pembedahan berjumlah RM90,000 itu di luar kemampuan keluarganya memandangkan dia hanya bekerja kampung dan pesawah manakala isterinya, Noorasmanizam Mohtar, 46 merupakan suri rumah.
Katanya, mereka terpaksa mengharapkan bantuan orang ramai bagi membolehkan anak bongsunya mendapat rawatan sewajarnya.
Mengimbas kembali kelahiran Nur Sofia, Mohamad Alamin berkata, mereka sendiri tidak menyangka bakal menerima kehadiran cahaya mata kedua itu kerana hanya mengetahui kehamilan isterinya ketika kandungan mencecah tujuh bulan.
“Isteri tidak menyedari dirinya hamil kerana mengalami masalah kitaran haid tidak teratur selain jumlah darah haid yang sedikit.
“Keadaan fizikalnya yang agak berisi serta tidak mengalami gejala muntah-muntah ketika hamil menyebabkan dia tidak mengesyaki dirinya berbadan dua.
“Dia pernah mendapatkan pemeriksaan di klinik selepas berasa tidak sihat dan pada awalnya dimaklumkan hanya mengalami masalah angin sebelum kami menyedari perutnya semakin membesar,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohamad Alamin berkata, keadaan kesihatan isteri dan anak sulung mereka yang turut mempunyai masalah jantung berlubang bagaimanapun kini stabil namun kedua-duanya masih perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala di hospital.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya melancarkan kutipan dana sebanyak RM90,000 bagi membantu menampung kos pembedahan Nur Sofia selepas menerima permohonan daripada keluarga berkenaan.
Katanya, keadaan kewangan keluarga itu agak terbatas berikutan pendapatan bapa bayi berkenaan yang bekerja kampung selain perlu menanggung perbelanjaan perubatan isteri serta anak sulung mereka.
“Selepas meneliti permohonan berkenaan, pihak kami memutuskan untuk membantu mengumpulkan dana sebanyak RM90,000 bagi membolehkan bayi itu menjalani pembedahan yang diperlukan.
“Sehubungan itu, kami berharap orang ramai dapat tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817) atau melayari laman web onehopecharity.org.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.