Lebih 700 peserta jayakan KEUIPP’26, perkasa ekonomi umat Islam

Iklan
Mohamad (tiga dari kanan) merasmikan KEUIPP'26 di UiTM Cawangan Pulau Pinang pada Selasa.

PERMATANG PAUH- Penyertaan lebih 700 peserta dalam Konvensyen Ekonomi Umat Islam Pulau Pinang 2026 (KEUIPP’26) membuktikan komitmen pelbagai pihak untuk memperkukuh pembangunan sosioekonomi umat Islam menerusi instrumen zakat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, konvensyen yang menyasarkan kehadiran 500 peserta itu bukan sekadar platform perkongsian ilmu malah menjadi medan perbincangan bagi merangka pendekatan lebih berkesan dalam memperkasakan golongan asnaf.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penganjuran KEUIPP’26 bertemakan ‘Transformasi Asnaf Melalui Zakat’ menghimpunkan ilmuwan, pemain industri dan wakil institusi zakat dari dalam serta luar negara bagi membincangkan potensi zakat dalam pembangunan ekonomi umat Islam.

“Alhamdulillah, kita sasarkan sekitar 500 peserta namun hari ini yang hadir melebihi 700 orang. Jadi, penuhlah Dewan Besar UiTM, melebihi sasaran,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan KEUIPP’26 di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, perbincangan sepanjang konvensyen itu diharap dapat menghasilkan satu deklarasi sebagai panduan kepada pelaksanaan usaha pembangunan ekonomi umat Islam khususnya menerusi Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030).

Katanya, pembangunan sosioekonomi merupakan antara lima teras utama APAI2030 dan zakat menjadi instrumen penting dalam merealisasikan agenda berkenaan, selain wakaf serta sumbangan kerajaan negeri.

Iklan

“Instrumen yang paling utama dalam kita membangunkan sosioekonomi umat Islam di Pulau Pinang ini adalah daripada zakat selain wakaf dan sumbangan daripada kerajaan negeri itu sendiri.

“Sebab itulah zakat memainkan peranan penting dalam konteks pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran wacana seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan dengan memberi tumpuan kepada instrumen ekonomi Islam lain seperti wakaf, jariah dan tabarru’ bagi memperluas perbincangan serta kerjasama dalam pembangunan ummah.

KEUIPP’26 turut menampilkan tokoh ilmuwan dan pakar ekonomi Islam dari Indonesia serta wakil institusi berkaitan termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan zakat.

Mohamad (tiga dari kiri) menyaksikan Mohamad Kairi (empat dari kiri) menyampaikan replika rakan strategik kepada UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP), Mohamad Kairi Ghazalli berkata, KEUIPP’26 menjadi platform memperkukuh peranan institusi zakat dalam mentransformasikan kehidupan golongan asnaf menerusi pembangunan ekonomi, pendidikan dan pemerkasaan kemahiran.

Menurutnya, penganjuran konvensyen itu berteraskan keyakinan bahawa dana zakat mampu mengubah kehidupan penerima sekiranya diuruskan dengan amanah dan diagihkan secara tepat.

"Kejayaan institusi zakat tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah kutipan, nilai agihan dan bilangan penerima bantuan sebaliknya turut dinilai menerusi perubahan kehidupan golongan berkenaan selepas menerima bantuan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pengerusi Zakat MAINPP berkata, kejayaan institusi zakat tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kutipan dan agihan semata-mata sebaliknya perlu dinilai melalui sejauh mana bantuan disalurkan mampu mengubah kehidupan penerima sehingga mereka berupaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berdikari.

Menurutnya, pendekatan pengurusan zakat perlu berorientasikan keberhasilan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan ekonomi golongan asnaf, bukan hanya memenuhi keperluan bantuan jangka pendek.

"Institusi zakat perlu mempunyai maklumat jelas mengenai perkembangan penerima bantuan, tahap kejayaan program serta cabaran yang masih perlu ditangani bagi memastikan setiap peruntukan memberikan impak sebenar.

“Walaupun perkembangan kutipan dan agihan menjadi ukuran penting dalam pengurusan kewangan institusi zakat, saya ingin menegaskan bahawa kejayaan yang lebih besar mesti dapat dilihat melalui perubahan sebenar dalam kehidupan penerima,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua MAINPP itu berkata, peningkatan kutipan zakat membolehkan Zakat MAINPP memperluas pelaksanaan agihan serta program pembangunan kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, kutipan zakat negeri meningkat daripada RM130.86 juta pada 2020 kepada RM202.48 juta pada 2025 manakala agihan bagi tahun sama mencecah RM200.11 juta yang memberi manfaat kepada 45,831 asnaf melibatkan individu dan institusi.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini pula, Zakat MAINPP merekodkan kutipan RM137.84 juta, manakala agihan berjumlah RM163.67 juta melibatkan 38,698 asnaf," ujarnya.

Mohamad bersalaman dengan peserta yang menuertai KEUIPP'26.

Mohamad berkata, pendekatan pembangunan asnaf perlu bergerak melangkaui pemberian bantuan semata-mata dengan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keupayaan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan membantu penerima membina pendapatan mampan.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga keutamaan kepada institusi zakat iaitu memperkukuh sistem perlindungan dan pembangunan asnaf secara bersepadu, membina jaringan pemerkasaan ekonomi yang menghubungkan pendidikan, industri serta pasaran dan menjadikan penilaian impak sebagai ukuran keberhasilan program.

Katanya, kejayaan sesuatu program perlu dinilai berdasarkan perubahan sebenar kehidupan penerima termasuk peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan yang diperoleh serta keupayaan usahawan mengembangkan perniagaan.

“Apabila kemiskinan dapat dikurangkan, peluang pendidikan diperluas, pendapatan keluarga meningkat dan lebih ramai asnaf mampu berdikari, di situlah terletaknya nilai sebenar transformasi yang kita perjuangkan,” katanya.