Kedah perlu laksana semakan kadar cukai tanah - Sanusi

Iklan
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah perlu melaksanakan semakan kadar cukai tanah bagi mengelakkan negeri kehilangan potensi hasil sekiranya proses berkenaan masih tertangguh.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan semakan kadar cukai tanah itu dibentangkan semula pada 5 Oktober lalu dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 selepas melalui proses penelitian sejak 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kuasa meluluskan semakan kadar cukai tanah terletak pada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengikut Seksyen 101 (1) hingga (5) Kanun Tanah Negara, manakala MTN berperanan memberikan pengesahan terhadap cadangan berkenaan sebelum tindakan lanjut di peringkat negeri.

“Selepas setahun, kita bawa ke MTN. Bukan MTN tak luluskan, dia ‘tidur’. Dia hantar permohonan ke sana, hantar pergi sini.

Iklan

“Mungkin pada masa itu semua orang yang ada di situ tidak ada pengalaman tentang hal itu. Tak dapat beri nasihat yang betul kepada Pengerusi mesyuarat, maka beliau suruh bawa pergi Kabinet, sedangkan itu bukan forumnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Pentadbiran Tanah Negeri kini menunggu cabutan minit Mesyuarat MTN Ke-83 sebelum proses pewartaan dapat dilakukan.

Iklan

Katanya, minit mesyuarat itu perlu diperoleh sebelum penghujung November ini bagi membolehkan proses pewartaan diselesaikan pada Disember.

"Kalau dapat bulan 12, tak sempat wartakan pula. Tahun sekali lagi baru boleh buat. Kita sudah kehilangan masa setahun dan akan kehilangan hasil daripada semakan itu," katanya.

Muhammad Sanusi menjelaskan, semakan kadar cukai tanah perlu dilaksanakan bagi memastikan hasil negeri tidak terus bergantung kepada kadar lama memandangkan semakan terakhir dibuat pada 2016.

Menurutnya, jika semakan tidak dilakukan selepas tempoh 10 tahun, negeri berisiko terus menggunakan kadar cukai tanah lama sehingga 2036.

"Kita mentadbir negeri pada tahun 2036 dengan hasil cukai tanah 2016? Jurangnya terlalu besar, tempoh terlalu panjang," katanya.

Beliau berkata, proses semakan membabitkan kira-kira 830,000 hak milik tanah di Kedah dimulakan pada 2024 dan memerlukan penelitian satu persatu sebelum dibentangkan kepada MTN.

Katanya, semakan berkenaan turut mengambil kira perbandingan dengan sekurang-kurangnya empat negeri lain yang sudah melaksanakan semakan, termasuk pendekatan Pulau Pinang yang memberikan rebat bagi mengurangkan kesan kenaikan kepada pemilik tanah.

Menjawab soalan tambahan Azhar mengenai sumbangan hasil pentadbiran tanah kepada pendapatan negeri, beliau berkata, cukai tanah menyumbang 42 peratus, premium tanah 17 peratus, manakala fi pendaftaran, royalti dan bayaran lain berkaitan tanah sebanyak 24.29 peratus.

Jelasnya, kira-kira 70 peratus pendapatan utama negeri bergantung kepada cukai tanah dan bayaran berkaitan tanah, sekali gus menjadikan semakan kadar berkenaan penting bagi memperkukuh kedudukan hasil kerajaan negeri.