Upah RM80 satu kepala, lelaki 'sumbat' lapan PATI Myanmar dalam kereta

Iklan
Keadaan kereta yang membawa PATI Myanmar. - FOTO: PGA

TUMPAT - Tindakan seorang lelaki tempatan membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah kereta Honda Accord terbongkar selepas kenderaan itu terbabas semasa cuba melarikan diri daripada dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Neting, di sini pada Selasa.

Kereta berkenaan turut menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum pemeriksaan menemui lapan warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 38 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika anggota Task Force Batalion 7 PGA Kuantan mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Neting.

Menurut beliau, menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandu berusia 25 tahun itu bertindak memecut laju untuk melarikan diri sebelum terbabas di bahu jalan di Jalan Tali Air Kampung Neting menghala ke Jalan Pak Keral.

Iklan

"Ketika diarahkan keluar daripada kenderaan, pemandu berkenaan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota serbuan dan menyebabkan kecederaan pada lengan kanannya.

"Pemeriksaan lanjut menemui lapan warga Myanmar di bahagian penumpang hadapan dan belakang kenderaan itu," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Iklan

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan tersebut. - FOTO: PGA

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat awal mendapati pemandu terbabit mengaku menerima upah RM80 bagi setiap PATI yang dibawa dan menjadikan kegiatan itu sebagai pekerjaan sambilan sejak awal November lalu.

Menurutnya, lelaki itu turut mengaku sudah tiga kali melakukan penghantaran sejak terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran berkenaan.

"Suspek memaklumkan urusan mengambil dan menghantar PATI diselaraskan seorang individu dikenali sebagai Abe Din yang tinggal di Thailand, manakala bayaran selepas selesai tugas akan dikirim kepada tekong laut," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua PATI berkenaan dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting dengan bantuan ejen dari Myanmar yang mengenakan bayaran kira-kira RM3,000 seorang termasuk menjanjikan pekerjaan sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur.

Ujarnya, mereka kemudiannya dijadualkan dibawa ke Lubok Jong, Pasir Mas sebelum diserahkan kepada transporter lain untuk perjalanan ke Kuala Lumpur.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap pemandu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.