KUANTAN – Dua kegiatan pusat panggilan disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian 'love scam' terbongkar hasil dua serbuan berasingan di Taman Majistec, Kota Sultan Ahmad Shah (Kotasas) di sini pada Isnin lalu.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan 36 warga asing terdiri lima lelaki warga China dan 20 lelaki serta 11 wanita warga Vietnam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan pertama kira-kira jam 4 petang membawa kepada penahanan 19 individu.
Menurutnya, 17 individu lagi ditahan dalam serbuan kedua jam 4.30 petang di taman perumahan sama.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kumpulan terbabit disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian 'love scam' menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Vietnam.
"Dalam serbuan itu, polis merampas 39 telefon bimbit, 28 komputer, 19 papan kekunci dan dua penghala internet," katanya.
Ashari berkata, turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan Proton X70 bersama kunci kenderaan untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Tegas beliau, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau hubungan mencurigakan menerusi media sosial selain menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan aktiviti sedemikian.