KUALA LUMPUR – Sebuah kedai besi buruk di Seksyen 92 Jalan Emas di sini terbakar dalam kejadian awal pagi Rabu.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi sistem NG999 pada jam 12.31 tengah malam.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak bersama jentera dikejarkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 12.44 tengah malam.
"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah kedai besi buruk dengan kemusnahan melibatkan barangan kitar semula.
"Pasukan operasi menjalankan kerja-kerja pemadaman sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.50 pagi," menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman membabitkan kekuatan 25 anggota bomba dengan bantuan lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Punca kebakaran masih dalam siasatan.