BATU PAHAT – Dua remaja lelaki berusia 17 dan 22 tahun ditemukan rentung selepas kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jaya Diri, Rengit, malam Selasa.
Dalam kejadian itu,, dua lagi mangsa yang menaiki sebuah Proton Wira, masing-masing lelaki berusia 37 tahun dan wanita warga emas berusia 61 tahun, mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Azmi Ngatman berkata panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.01 malam.
Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Wira dan Proton Saga BLM.
"Dua mangsa yang menaiki Proton Wira didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat.
“Proton Saga BLM tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya kerana turut terbakar 60 peratus.
"Bagaimanapun, berdasarkan keterangan saksi, terdapat dua mangsa yang tersepit dan rentung di dalam Proton Saga BLM," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula.
“Operasi turut dibantu sebuah ambulans yang berada di lokasi bagi memberikan rawatan kepada mangsa cedera.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.49 malam. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.