AMPANG - Jenama minuman malt coklat berkhasiat, MILO® meraikan satu lagi kejayaan apabila 100 sekolah di seluruh negara bersama-sama mengumpulkan kira-kira 500,000 kotak minuman terpakai (UBC) sepanjang 2026 sempena program MILO® Tenaga Untuk Kebaikan.
Program yang memasuki tahun kedua penganjuran itu bertujuan menggalakkan generasi muda Malaysia menterjemahkan amalan kitar semula kepada tindakan bermakna.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols berkata, jumlah kutipan UBC yang meningkat hampir 60 peratus pada tahun ini mencerminkan penyertaan dan komitmen kukuh dalam kalangan sekolah dan murid demi membawa perubahan positif.
Menurut beliau, MILO® Tenaga Untuk Kebaikan begitu bermakna kerana murid dapat melihat sendiri impak kepada tindakan mereka apabila kotak minuman terpakai diberi nafas baharu dan diproses menjadi perabot atau peralatan sukan yang menyokong persekitaran pembelajaran serta gaya hidup aktif.
"Saya percaya usaha ke arah masa depan yang lebih lestari memerlukan penglibatan semua pihak.
"Paling penting sekali, murid dapat mempelajari bahawa tindakan kecil yang dilakukan secara bersama oleh sekolah dan komuniti mampu membawa perubahan kepada yang bermakna.
"Justeru, saya harap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup lestari dan aktif serta meneruskan amalan tersebut dalam kehidupan seharian, jauh melangkaui alam persekolahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengiktirafan dan Penutupan MILO® Tenaga Untuk Kebaikan di The Campus, di sini pada Selasa.
MILO® Tenaga Untuk Kebaikan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Tetra Pak Malaysia bagi meneruskan komitmen jangka panjang kedua-dua pihak terhadap usaha kitar semula kotak minuman menerusi Projek CAREton sejak 2012.
Sehingga kini, MILO® dan Tetra Pak Malaysia berhasil mengumpul 7,400 tan kotak minuman terpakai menerusi Projek CAREton, bersamaan kira-kira 570 juta kotak dengan sebahagiannya diproses menjadi produk berguna termasuk jubin bumbung serta perabot.
Majlis dimeriahkan lagi dengan pengumuman 12 sekolah selaku juara bagi kutipan UBC tertinggi di negeri masing-masing.
12 sekolah kebangsaan (SK) termasuk sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) yang mengambil bahagian turut berkongsi rangkuman video perjalanan sepanjang program MILO® Tenaga Untuk Kebaikan berlangsung sambil memaparkan kreativiti, semangat berpasukan dan komitmen terhadap amalan kitar semula.
Sekolah yang terlibat ialah SK Temerloh Jaya (Pahang); SJKC Boon Beng (Pulau Pinang); SK Air Merah (Kedah); SK Bukit Kemuning 2 (Selangor); SK Batu 24 (Johor) dan SK Berangan (1) (Kelantan).
Selain itu, SJKC La Salle (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); SK Taman Tunku Jaafar 2 (Negeri Sembilan); SK Putrajaya Presint 18(1) (Putrajaya); SK Tasik Damai (Perak); SK Ayer Molek (Melaka) dan SK Seri Indera (Perlis).
SJKC La Salle mencatatkan pencapaian membanggakan apabila dinobat sebagai Juara Keseluruhan MILO® Tenaga Untuk Kebaikan 2026, sekali gus membawa pulang RM1,000 berserta trofi, sijil penghargaan dan tambahan RM1,000.
Setiap sekolah juara peringkat negeri juga menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM1,000.
Murid yang mengambil bahagian turut memperoleh mata kokurikulum sebagai pengiktirafan atas penglibatan aktif masing-masing.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ithnin Mahadi berpandangan, pelaksanaan program sebegini mampu memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap alam sekitar.
Pihaknya percaya ia antara aspek penting dalam konteks melahirkan generasi yang menyedari peranan masing-masing demi membina masa depan Malaysia yang lestari.
"Inisiatif seperti MILO® Tenaga Untuk Kebaikan melengkapi usaha KPM dalam melahirkan murid yang seimbang dan holistik bukan sahaja dari segi keupayaan akademik, tetapi juga tanggungjawab sosial serta keprihatinan terhadap alam sekitar.
"Penyertaan lebih 100 sekolah di seluruh negara dan kutipan hampir setengah juta kotak minuman terpakai atau UBC ini membuktikan yang kejayaan dapat dicapai apabila sekolah, komuniti serta rakan industri berganding bahu ke arah matlamat bersama," ujar beliau.
Wakil SJKC La Salle, Chua Chung Wei ketika ditemu bual berkata, murid mempamerkan sikap yang sangat positif sepanjang program berlangsung di mana masing-masing tahu tentang keperluan saling bantu-membantu dan berani memikul tanggungjawab terhadap aktiviti kitar semula.
"Apa yang bermula sebagai aktiviti kitar semula berkembang menjadi usaha bersama melibatkan murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
"Pengalaman ini menunjukkan kepada murid bahawa apabila kita bekerjasama, tindakan kecil mampu membawa perubahan yang bermakna kepada alam sekitar dan komuniti," jelasnya.