SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang meneliti keperluan mewujudkan kerangka kawal selia baharu bagi ruang udara susulan cadangan pembangunan teknologi pengangkutan moden termasuk kenderaan udara atau kereta terbang untuk kegunaan komersial.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, walaupun terdapat anak tempatan yang sudah berjaya mencipta kereta terbang, isu utama yang perlu diberi perhatian bukan sekadar pembangunan kenderaan itu semata-mata.
Menurutnya, aspek kawalan, seliaan ruang udara dan elemen kesalinghubungan menjadi keutamaan bagi menjamin keselamatan awam.
"Lebih penting adalah kawalan dan seliaan ruang udara serta elemen-elemen kesalinghubungan untuk memastikan kalau dron itu hilang isyarat, apa akan jadi kepada dron tersebut, jika ia tiba-tiba dikawal atau diambil alih dalam era serangan siber seperti sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.
Terdahulu, Mohd Shafie membangkitkan pertanyaan sama ada kerajaan bersedia menceburi bidang penciptaan kereta terbang berasaskan kenderaan elektrik (EV) bagi tujuan komersial khususnya untuk mengatasi kesesakan lalu lintas serta pengangkutan kargo.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata, teknologi itu memerlukan pendekatan kerangka kawal selia baharu dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah sedia ada ketika ini.
Justeru, katanya, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kerjasama bersama pihak tertentu serta merujuk kepada model pelaksanaan di negara luar termasuk China.
"Sebagai contoh di Shenzhen, teknologi ini telah pun digunakan untuk penghantaran barangan dan sekarang sedang diangkat untuk digunakan bagi menghantar manusia," katanya.
Beliau menjelaskan, konsep kereta terbang pada asasnya tidak jauh berbeza daripada helikopter, dengan perbezaan utama terletak pada ciri autonomi tanpa pemandu (unmanned) serta platform penerbangan yang digunakan.
"Justeru, ciri-ciri keselamatan bagi penumpang di dalam kenderaan dan keselamatan penduduk di kawasan sekitar perlu diperhalusi secara teliti serta terkawal sebelum industri ini dapat dikembangkan dengan lebih baik di negeri ini," tambah beliau.