SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor meninggalkan kerusi Speaker untuk mengambil tempat sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands bagi membahaskan Belanjawan 2027 mencetuskan persoalan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang meminta penjelasan sama ada tindakan seumpama itu boleh dilakukan dalam persidangan DUN Selangor.
Menurut beliau, kejadian yang berlaku di Dewan Rakyat itu menimbulkan tanda tanya sehingga menyifatkan situasi itu sebagai janggal.
"Saya ingin mendapatkan petua daripada Timbalan Speaker terlebih dahulu, sekiranya perkara sama berlaku di Dewan Negeri Selangor, iaitu Timbalan Speaker meninggalkan kerusi untuk duduk sebagai ADUN dan mengambil bahagian dalam perbahasan.
"Saya hendak tanya, bolehkah atau tidak sebenarnya perkara itu dibuat di Dewan Negeri Selangor ini," katanya sebelum pertanyaan lisan pada persidangan DUN Selangor di sini pada Selasa.
Terdahulu, situasi itu tercetus ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya (KKR) yang dipengerusikan Ramli.
Bagaimanapun, Ramli menegaskan beliau tidak pernah melepaskan tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua sepanjang sesi berkenaan.
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd Kamri Kamaruddin berkata, tindakan Ramli dipercayai dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 99A.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu terserah kepada pihak pengurusan Parlimen untuk menguruskannya.
"(Persidangan) DUN Selangor kita kena mengikut segala peraturan mesyuarat yang sudah dibukukan dan ditetapkan oleh Dewan Negeri Selangor," katanya.