Hakisan ancam bekas tapak pelupusan sampah lama, Kerajaan Kelantan arah kajian segera

Iklan
Hilmi (dua,kiri) semasa meninjau kawasan bekas tapak pelupusan sisa pepejal Teluk Kitang, Tok Lukut di Pantai Dasar di Kota Bharu pada Julai lalu.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan menjalankan kajian serta penelitian segera bagi mengenal pasti langkah bersesuaian untuk menangani masalah hakisan yang melanda kawasan bekas tapak pelupusan sisa pepejal Teluk Kitang, Tok Lukut di Pantai Dasar di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, arahan berkenaan telah dibuat sudah lama iaitu Julai lalu selepas beliau turun padang bersama JAS dan Majlis Bandaraya Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MBKB-BRI) bagi meninjau keadaan lokasi itu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati bahagian penghujung lot tapak pelupusan berkenaan sedang mengalami hakisan dan memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemunculan kerang kapak di pesisir Pantai Dasar di sini yang tular sejak kebelakangan ini bukan sahaja mengundang perhatian orang ramai, malah mencetuskan tanda tanya apabila kawasan sama turut dipenuhi sampah sarap yang dipercayai sisa tapak pelupusan lama.

Iklan

Fenomena pendedahan semula sisa buangan tersebut berkemungkinan berkait dengan proses hakisan pantai dan perubahan morfologi pesisir, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh keadaan laut bergelora serta tenaga ombak yang lebih tinggi.

Menurut beliau, JAS telah mengambil maklum berhubung perkara itu dan akan meneliti tindakan yang boleh dilaksanakan mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan.

Iklan

Dalam masa sama ujarnya, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan turut perlu memainkan peranan khususnya dari aspek pemantauan hidupan akuatik di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, ini termasuk mengambil sampel kerang kapak yang ditemui di kawasan pantai untuk diuji di makmal bagi menentukan tahap keselamatan hidupan berkenaan sekiranya dimakan.

"Perkara itu penting bagi mendapatkan pengesahan saintifik berhubung kemungkinan kesan pencemaran terhadap hidupan akuatik susulan hakisan di kawasan bekas tapak pelupusan sampah berkenaan," katanya.

Hilmi memaklumkan, tapak pelupusan sisa pepejal Teluk Kitang seluas lebih 27.11 hektar itu merupakan antara tapak pelupusan sampah terbuka paling lama digunakan bagi kawasan pentadbiran MPKB-BRI sebelum operasinya dihentikan pada 2006.

Tambah beliau, operasi pelupusan sampah kemudiannya dipindahkan ke Kampung Beris Lalang, Bachok.

Katanya lagi, ketika masih beroperasi, tapak berkenaan dianggarkan menerima kira-kira 300 tan metrik sampah sehari dan memainkan peranan penting dalam pengurusan sisa pepejal di kawasan Kota Bharu.

"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan di kawasan berkenaan bagi memastikan langkah pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan demi melindungi alam sekitar serta keselamatan penduduk setempat," katanya