KOTA BHARU - Perjalanan pulang ke Kelantan yang sebelum ini mengambil masa sehingga tujuh jam, malah mencecah 21 jam ketika musim perayaan, bakal dipendekkan kepada sekitar empat jam menerusi perkhidmatan ekspres Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Perubahan itu bukan sahaja menjadikan Kelantan lebih mudah diakses dari Lembah Klang, malah berpotensi mengubah corak pergerakan rakyat negeri ini dalam urusan kekeluargaan, pekerjaan dan pendidikan.
Malah, faktor jarak yang selama ini menjadi kekangan untuk pulang ke kampung atau berulang-alik antara Kelantan dengan negeri lain dijangka tidak lagi menjadi halangan besar apabila ECRL mula beroperasi.
Bagi kakitangan kerajaan, Zuraini Che Hassan, 38, dari Kedai Menanti, Pasir Puteh yang kini bertugas di Kuantan, Pahang, kemudahan itu memberikan kelegaan kepada keluarganya yang sebelum ini perlu menempuh perjalanan panjang untuk pulang ke kampung.
Katanya, perjalanan bersama suami dan empat anak sebelum ini memerlukan mereka memandu kira-kira lima jam, selain sesekali memilih bas sebagai alternatif.
"Dengan adanya ECRL, kita boleh menjimatkan masa, berehat sepanjang perjalanan dan sampai ke destinasi dengan lebih selesa. Tambang yang ditawarkan juga berpatutan," katanya ketika ditemui pada Program Percubaan Perjalanan ECRL 2026 bersama pengamal media Kelantan pada Isnin.
Sementara itu, penulis, Noornasrin Salsabila Othman, 33, berkata, kemudahan ECRL menjadikan perjalanan antara Kelantan dengan Kuala Lumpur lebih mudah dan singkat, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada rakyat negeri itu.
Menurutnya, penumpang yang menaiki tren dari Kota Bharu seawal jam 7 pagi berpeluang tiba di Lembah Klang dalam tempoh sekitar empat jam, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan lebih baik.
"Bagi saya, ia menjimatkan masa dan selesa. Kemudahan ini sudah tentu memberi ruang kepada lebih ramai anak Kelantan untuk mengembangkan kerjaya, melanjutkan pendidikan dan meneroka peluang yang lebih luas," katanya.
Dari segi tambang, kadar permulaan kelas ekonomi bagi perjalanan Gombak-Kota Bharu ialah RM125 untuk perkhidmatan Transit dan RM147 bagi Ekspres.
Bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu pula, tambang bermula RM95 untuk Transit dan RM110 bagi Ekspres, manakala perjalanan Gombak-KotaSAS di Kuantan ditawarkan serendah RM60 dan RM68 mengikut jenis perkhidmatan.
Secara keseluruhan, laluan ECRL sepanjang 665 kilometer menghubungkan Kota Bharu di Kelantan hingga Jalan Kastam di Port Klang, Selangor, merentasi empat negeri dengan 20 stesen apabila kedua-dua fasa beroperasi sepenuhnya.
Fasa pertama bagi laluan Gombak-Kota Bharu melibatkan 16 stesen dengan jarak kira-kira 523 kilometer, manakala perjalanan ekspres dijangka mengambil masa sekitar empat jam.
Antara stesen yang dilalui ialah Gombak, Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City, Cherating, Chukai, Kemasik, Dungun, Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri, Jerteh, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
Pengguna mempunyai pilihan dua jenis perkhidmatan iaitu Transit yang berhenti di semua stesen dan Ekspres yang hanya berhenti di empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Selain memendekkan masa perjalanan, ECRL turut menyediakan kemudahan ruang solat, rak bagasi, kaunter makanan dan sambungan WiFi bagi meningkatkan keselesaan penumpang.
ECRL bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah berpotensi merapatkan hubungan kekeluargaan, memudahkan urusan harian serta membuka peluang baharu kepada pembangunan sosioekonomi Kelantan.