KOTA BHARU - Ayam siap bungkus tanpa kepala yang mencetuskan persoalan dan tular dalam kalangan pengguna disahkan melalui proses penyembelihan yang sempurna oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).
Pengesahan itu dibuat hasil pemeriksaan bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Jaheaik di sebuah pasar raya, di sini susulan aduan yang tular pada Isnin.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, hasil pemeriksaan mendapati ayam yang dibekalkan kepada premis berkenaan diterima dalam keadaan siap dibungkus.
Menurut beliau, satu sampel ayam turut diambil pihak Jaheaik bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan pengesahan lanjut dilakukan.
"Hasil pemeriksaan mengesahkan ayam berkenaan telah melalui proses penyembelihan yang sempurna sebelum bahagian kepala ditanggalkan menggunakan mesin 'head puller' sebagai sebahagian daripada proses pemprosesan ayam secara berskala besar.
"Ini sekali gus menjelaskan keadaan ayam tanpa kepala yang menjadi persoalan dalam aduan tular berkenaan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau memberitahu, pihak premis turut mengemukakan sijil halal yang dikeluarkan bagi produk daripada pembekal berkenaan untuk semakan.
Tambah Hanif Yusabra, pihaknya memandang serius setiap aduan dan isu tular yang membabitkan kepentingan serta kebajikan pengguna.
Menurutnya, pemeriksaan dan pengesahan bersama agensi berautoriti akan terus dilaksanakan bagi memastikan setiap isu ditangani berdasarkan fakta, bukti dan hasil pemeriksaan, bukannya spekulasi atau persepsi semata-mata.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.