Sekolah berisiko banjir di Kelantan diarah pindah dokumen, peralatan penting

Iklan
Wan Mohd Eiman (empat dari kiri) menerima sijil dan medal yang disampaikan oleh Norina (tiga dari kanan).

PASIR MAS – Sekolah berhampiran sungai dan kawasan berisiko banjir di seluruh Kelantan diarah segera memindahkan peralatan serta dokumen penting ke tempat lebih tinggi.

Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, langkah persediaan berdepan musim tengkujuh itu dilakukan lebih awal bagi mengelakkan kerugian sekiranya premis ditenggelami banjir.

Iklan
Iklan

“Semua sekolah berisiko banjir sudah dimaklumkan supaya mengalihkan barangan penting ke lokasi selamat seperti tingkat dua bangunan atau ke aras yang lebih tinggi.

“Kami bersedia dengan langkah-langkah awal bagi mengelak kerosakan serta kerugian akibat banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati pada Selasa.

Iklan

Beliau sebelum itu menghadiri majlis meraikan kejayaan empat pelajar sekolah tersebut yang menerima pengiktirafan antarabangsa di Pertandingan Olimpik Antarabangsa Sains dan Teknologi (IOSTC) sempena Global Youth Sustainable Development Goal Innovation Camp di Semarang, Indonesia.

Mereka kesemuanya berusia 16 tahun iaitu Adlan Hanzalah Redza Ansar dan Muhammad Syafi Hasnan Mahassan yang mencipta produk racun serangga perosak serta Wan Mohd Eiman Hadif Wan Mohd Azan bersama Muhammad Qaesh A’bid Mohd Syafik Afendy yang mencipta produk minyak aromatik.

Iklan

Kedua-dua ciptaan menggunakan daun dari pokok gelam dan dibimbing Guru Kanan Sains dan Matematik SMKA Lati, Mardiana Syarita Mohd Razmin.

Turut hadir Pengetua SMKA Lati, Dr Wan Mohd Zuhairi Wan Abdullah.

Norina (tengah) dan pelajar SMKA Lati bergambar bersama pelajar yang mengharumkan nama sekolah mereka.

Dalam perkembangan musim tengkujuh itu lagi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sebelum ini turut mengambil langkah persediaan bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di kawasan berisiko banjir dapat dipindahkan ke asrama sekolah lain sekiranya keadaan memerlukan.

“JPN Kelantan sudah mengenal pasti kekosongan asrama di beberapa sekolah bagi membolehkan pemindahan dilakukan pada bila-bila masa.

“Terutama membabitkan calon dari kawasan yang sering terjejas banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat,” kata Norina.

Tambah beliau, persediaan itu termasuk memaklumkan lebih awal kepada calon mengenai lokasi penempatan sementara bagi mengelakkan mereka terkejut atau terganggu sekiranya perlu berpindah ketika peperiksaan semakin hampir.

Langkah kesiapsiagaan itu penting memandangkan Kelantan kini berada dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

Sepanjang fasa awal monsun dari November hingga Januari Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang berisiko menyebabkan banjir khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.