KUALA LUMPUR - Tular dakwaan wujud sebuah pertubuhan haram dikenali sebagai De Norsemen Klub International (DNKI) yang dipercayai dianggotai komuniti Nigeria di Malaysia.
Perkara itu mencetuskan persoalan mengenai status pertubuhan berkenaan selepas beberapa gambar dan video memaparkan perjumpaan sekumpulan individu yang didakwa ahli DNKI tersebar di media sosial.
Dakwaan itu dibangkitkan seorang pengguna platform Threads yang berkongsi beberapa gambar dan rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam dan merah dengan lambang DNKI serta bendera Malaysia.
Perkongsian berkenaan turut menimbulkan persoalan sama ada pertubuhan itu berdaftar atau mempunyai kebenaran untuk beroperasi di negara ini.
Tinjauan di akaun media sosial terbabit turut menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.
Malah, terdapat dakwaan yang mengaitkan DNKI dengan kumpulan dikenali sebagai Vikings dari Nigeria yang pernah mendapat perhatian pihak berkuasa luar negara berhubung kegiatan jenayah terancang.
Nama De Norsemen Kclub International turut disebut dalam laporan keselamatan pihak berkuasa luar negara berkaitan rangkaian kumpulan dari Nigeria.
Sinar Harian difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular berhubung pertubuhan berkenaan.