Che Tam berat hati nak berjauhan dengan Bantut, Baby

Iklan
Che Tam bersama kerbau kesayangannya di kandang ternakan keluarganya di Felda Lepar Hilir 2, Gambang. Foto Azman

KUANTAN – Hasrat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama tahun depan bakal menguji perasaan seorang kanak-kanak perempuan yang mungkin terpaksa berjauhan dengan dua kerbau kesayangannya, Bantut dan Baby.

Nurul Afina Aqila Azman, 12, yang mesra dipanggil Che Tam itu memohon kemasukan ke Tingkatan Satu ke Asrama Sri Semai Bakti dan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) serta kini menunggu tawaran tersebut.

Iklan
Iklan

Dia mengakui akan berasa sedih sekiranya mendapat tawaran berkenaan kerana terpaksa berjauhan dengan haiwan kesayangannya itu.

“Saya tahu pendidikan sangat penting untuk masa depan dan akan cuba sesuaikan diri dengan kehidupan di asrama serta belajar bersungguh-sungguh.

Iklan

“Saya percaya walaupun berjauhan, saya masih boleh jumpa dengan kerbau-kerbau saya apabila pulang bercuti,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, Sinar Harian mengetengahkan keakraban kanak-kanak itu dengan haiwan tersebut menerusi laporan bertajuk ‘Che Tam rapat dengan haiwan ternakan sejak kecil’.

Iklan

Laporan itu antaranya menceritakan cara Che Tam mendodoikan Baby dengan menyanyikan lagu sambil menepuk badan anak kerbau itu sehingga lena.

Gelagat Che Tam meluangkan masa bersama dua kerbau peliharaan keluarganya di Felda Lepar Hilir 2, Gambang yang menjadi teman rapatnya sejak kecil. Foto Azman

Berkongsi mengenai minatnya terhadap kerbau, Che Tam berkata, kecenderungan itu bermula sejak kecil apabila dia sering mendekati dan menghabiskan masa bersama haiwan ternakan keluarganya.

“Saya tidak kisah sangat kalau ada orang kata saya pelik, sebab setiap orang mempunyai minat yang berbeza.

“Ada orang suka kucing, ada yang suka arnab dan saya pula suka kerbau. Jadi bagi saya, tidak salah mempunyai minat yang berbeza asalkan kita melakukan perkara yang baik,” luahnya.

Bercerita lanjut, Che Tam berkata, pengalaman bersama kerbau turut mengajarnya kasih sayang bukan hanya untuk manusia tetapi juga kepada haiwan.

“Haiwan juga memerlukan perhatian dan penjagaan yang baik. Saya juga belajar supaya tidak mengabaikan haiwan walaupun kita sibuk dengan perkara lain,” jelasnya yang menyimpan impian untuk menjadi doktor haiwan suatu hari nanti.

Sementara itu, bapanya, Azman Umar, 35, berkata, keluarga mereka sudah lama berkecimpung dalam bidang penternakan kerbau dan kini mempunyai kira-kira 30 ekor.

Menurutnya, anak tunggalnya itu sudah biasa melihat haiwan ternakan kerana sudah dibawa ke kandang ketika berusia dua tahun.

“Saya tidak sangka Che Tam begitu meminati kerbau, namun kesungguhannya membuktikan ia bukan sekadar hobi biasa.

“Minat tersebut banyak membentuk peribadinya, termasuk mengajar nilai tanggungjawab, kesabaran, keberanian dan kasih sayang terhadap haiwan,” katanya.

Azman menambah, menguruskan kerbau bukan perkara mudah kerana haiwan itu perlu diberi makan mengikut rutin dan dipastikan keselamatannya.

Ujarnya, sekiranya Che Tam mendapat tawaran ke sekolah berasrama tahun depan, ahli keluarga lain akan meneruskan tugas menjaga kerbau berkenaan.

“Saya tidak mahu minatnya terhadap kerbau menjadi penghalang untuk dia melangkah lebih jauh. Sebaliknya, saya berharap minat ini menjadi satu kelebihan dan identiti yang boleh dibanggakan.

“Kalau suatu hari nanti Che Tam berjaya dalam bidang akademik, pada masa sama mampu mengembangkan dunia penternakan kerbau dengan lebih maju, itu sudah cukup membanggakan saya,” katanya.