BMW Group Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) melaksanakan inisiatif penggunaan semula bateri terpakai kenderaan elektrik (EV) sebagai sistem penyimpanan tenaga solar bagi membekalkan elektrik kepada 20 isi rumah komuniti Orang Asli suku Semai di Kampung Saweh, Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.
Menerusi inisiatif itu, bateri EV BMW yang telah mencapai penghujung kitaran penggunaan asal diberikan fungsi baharu sebagai sumber penyimpanan tenaga sekali gus membolehkan penduduk menikmati bekalan elektrik secara berterusan.
Inisiatif berkenaan merupakan pelaksanaan kedua di lapangan menerusi kerjasama penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya, yang dibangunkan Profesor Madya Dr Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).
Pengarah Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan berkata, penggunaan semula bateri selepas sesebuah kenderaan mencapai penghujung tempoh penggunaannya merupakan pendekatan yang membuka peluang kepada penerokaan fungsi baharu teknologi berkenaan.
“Di Kampung Saweh, bateri yang dahulunya membekalkan tenaga kepada kenderaan di jalan raya Malaysia kini membekalkan elektrik kepada 20 buah rumah, sepanjang siang dan malam untuk sebuah komuniti yang tidak pernah menikmati kemudahan tersebut sebelum ini.
“Kerjasama dengan Universiti Malaya membolehkan kami merealisasikan hasil penyelidikan kepada aplikasi praktikal yang mencerminkan prinsip inovasi kitaran. Usaha ini membawa teknologi dari makmal ke sebuah perkampungan, memberikan perubahan bermakna kepada kehidupan seharian penduduk,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, penduduk kampung bergantung pada generator petrol dan diesel yang lazimnya beroperasi kira-kira empat jam setiap malam khususnya untuk kegunaan lampu dan kipas.
Kos operasi generator itu dianggarkan sekitar RM10 sehari bagi setiap isi rumah selain bekalan elektrik yang terhad kepada tempoh penggunaannya.
Dengan sistem baharu tersebut, kesemua 20 isi rumah kini boleh menikmati bekalan elektrik selama 24 jam dengan kos lebih rendah tanpa pelepasan emisi daripada penggunaan generator.
Jelas Chia Kwang, projek itu menggabungkan penggunaan bahan binaan daripada sumber semula jadi, bateri EV terpakai dan panel solar yang diberikan hayat penggunaan kedua bagi membangunkan sistem tenaga luar bandar berasaskan tenaga boleh baharu dan rendah karbon.
Menurutnya, pendekatan itu turut mencerminkan prinsip ekonomi kitaran apabila komponen yang tidak lagi digunakan dalam fungsi asal dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan masyarakat.
“Pelaksanaan ini begitu signifikan kerana ia memberi peluang untuk menguji dan menambah baik hasil penyelidikan kami dalam persekitaran sebenar dengan mengambil kira aspek kebolehpercayaan bekalan tenaga, persekitaran setempat serta keperluan praktikal masyarakat.
“Sumbangan bateri EV terpakai daripada BMW Group Malaysia telah membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian seumpama ini yang boleh disesuaikan bagi menangani cabaran bekalan tenaga yang dihadapi oleh komuniti luar bandar yang lain,” katanya.
Sistem berkenaan menggunakan 30 modul bateri BMW yang digunakan semula dengan kapasiti kuasa penyongsang keseluruhan sebanyak 8kW.
Melalui konfigurasi berpusat, sistem itu membekalkan tenaga kepada semua 20 isi rumah dengan peruntukan penggunaan sebanyak 3kWh sehari bagi setiap rumah.
Memandangkan penggunaan elektrik setiap isi rumah tidak berlaku serentak, lebihan kapasiti yang tidak digunakan boleh disalurkan kepada rumah lain apabila diperlukan.
Pendekatan itu membolehkan permintaan tenaga dipenuhi tanpa memerlukan pemasangan sistem berkapasiti berlebihan.
Bateri ditempatkan dalam sebuah struktur yang dibina menggunakan kayu dan buluh dari kawasan sekitar manakala bekalan tenaga diperoleh menerusi panel solar yang tidak lagi digunakan dalam operasi ladang solar komersial meskipun masih mempunyai baki jangka hayat yang panjang.
Reka bentuk sistem turut mengambil kira keperluan penyimpanan makanan sebagai fungsi utama bekalan elektrik kepada penduduk.
Sebelum ini, penduduk yang memburu atau mencari hasil hutan tidak mempunyai kemudahan untuk menyimpan dan mengawet makanan. Hasil mudah rosak seperti daging perlu dimasak atau dikongsi bersama jiran dengan segera bagi mengelakkannya daripada rosak.
Dengan kemudahan bekalan elektrik, penduduk kini berpeluang menggunakan peti sejuk apabila keluarga mula melengkapkan kediaman masing-masing dengan peralatan berkenaan. Pada masa ini, televisyen merupakan peralatan elektrik yang mencatatkan penggunaan tenaga tertinggi di kebanyakan rumah.
Berdasarkan reka bentuk semasa, bateri berkenaan dijangka mampu membekalkan tenaga kepada kampung itu sekurang-kurangnya lima tahun, setanding atau lebih lama berbanding bateri asid plumbum baharu yang lazim digunakan dalam projek elektrifikasi luar bandar.
Selain menawarkan kos lebih rendah, pendekatan penggunaan semula bateri EV itu turut membantu mengurangkan pelepasan emisi menerusi prinsip ekonomi kitaran.
Untuk rekod, penyelidikan sistem berkenaan dijalankan di Makmal Grid Pintar, UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC) yang merupakan Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE) dalam penyelidikan tenaga boleh baharu.
Projek itu membabitkan pelajar prasiswazah daripada pelbagai disiplin kejuruteraan serta penyelidik peringkat Sarjana dan PhD, dengan pembiayaan bersama daripada UMCares, Universiti Ritsumeikan, Jepun dan Tech Inspiration Systems Sdn Bhd.
Pelaksanaan di Kampung Saweh juga mempunyai kaitan dengan pendekatan Dividen Ekuiti Kitaran (Circular Equity Dividend) yang diketengahkan Malaysia pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) 2026 di Antalya, Türkiye, pada 10 November lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Nga Kor Ming, membentangkan pendekatan itu di Pavilion Malaysia sebagai satu daripada tiga cadangan ekonomi kitaran negara.
Cadangan berkenaan mengusulkan penggunaan semula bateri EV yang tamat tempoh penggunaan asal sebagai sistem penyimpanan tenaga untuk membekalkan elektrik kepada komuniti luar bandar tanpa akses grid, penempatan masyarakat Orang Asli serta kemudahan kesihatan.
Pemasangan sistem di Kampung Saweh dilaksanakan pada 27 Oktober lalu, kira-kira dua minggu sebelum pembentangan di COP31 sekali gus memperlihatkan aplikasi sebenar pendekatan tersebut di Malaysia.