Durian Malaysia catat peningkatan import ke China melalui Shenzhen

Iklan
China menjadi tuan rumah kepada Persidangan APEC yang melibatkan 21 buah negara termasuk Malaysia dengan tema Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Mencapai Kemakmuran Bersama.

SHENZHEN - Durian dari Malaysia dan Vietnam mencatatkan jumlah import yang paling besar ke China melalui bandar Shenzhen, kata Pengarah Biro Perdagangan Shenzhen, Zhang Feimeng.

Jelas beliau, jumlah import durian dari kedua-dua negara tersebut meningkat sebanyak 25.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

“Sebagai pembeli utama, Shenzhen mencatatkan nilai import sebanyak 2.224 trilion yuan (RM1.362 trilion) dalam tiga suku pertama tahun ini. Pertumbuhan import mencapai 70.1 peratus.

“Durian dari Malaysia dan Vietnam memasuki pasaran China dalam jumlah yang besar melalui pintu masuk Shenzhen,” katanya semasa Sidang Akhbar Persiapan Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC 2026) di Pusat Media Shenzhen pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Anggota Jawatankuasa Tetap Parti Komunis China (CPC) Guangdong dan Timbalan Ketua Kumpulan Kerja Persiapan APEC Guangdong, Wang Xi serta Timbalan Ketua Kumpulan Kerja Persiapan APEC Guangdong merangkap Datuk Bandar Shenzhen, Li Yun.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Kerajaan Wilayah Guangdong, Ma Wenfeng; Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Guangdong, Gong Zhenzhi dan Timbalan Pengarah Biro Inovasi Sains dan Teknologi Shenzhen, Xia Lei.

Iklan

Mengulas lanjut Feimeng berkata, peningkatan itu didorong oleh dasar negara tersebut untuk terus membuka pasaran dan memperluas import.

“Shenzhen telah mencapai rekod baharu dalam perdagangan luar negeri dan menjadi bandar pertama di tanah besar China yang mencatatkan jumlah import dan eksport melebihi 5 trilion yuan (RM3.06 trilion).

“Keterbukaan pada tahap tinggi dan inovasi berterusan kini menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan luar negeri Shenzhen.

“Sejak awal tahun ini, kami telah menganjurkan 10 acara perdagangan utama. Kami juga memperkenalkan beberapa inisiatif khusus untuk memudahkan aktiviti perdagangan dan mengurangkan kos perdagangan bagi rakan dagang antarabangsa,” ujar beliau

Menurut Feimeng, Shenzhen turut melakukan inovasi secara berterusan memberikan momentum baharu kepada perdagangan global.

“Sebagai bandar perindustrian nombor satu di China, Shenzhen merupakan sumber dan pusat pengembangan daya pengeluaran berkualiti baharu serta inovasi. Teknologi dan produk baharu terus dihasilkan,”

Tambah beliau, dalam tiga suku pertama tahun ini, eksport produk utama Shenzhen seperti pencetak tiga dimensi, kamera digital dan telefon pintar meningkat sebanyak 15.5 peratus secara keseluruhan.

“Shenzhen bukan sahaja menyediakan pelbagai produk kepada pengguna seluruh dunia, malah terus menyumbang tenaga baharu kepada kerjasama perdagangan global. Kami mahu memperluas peluang pasaran bersama rakan dagang antarabangsa,” kata Feimeng.

Sehubungan itu, beliau amat mengalu-alukan pengeluar, pedagang dan pelabur dari seluruh dunia untuk memanfaatkan bandar itu sebagai pintu masuk ke pasaran besar China.

“Kami mengalu-alukan semua pihak untuk bertemu di Shenzhen dan menyaksikan sendiri keajaiban pembangunan bandar ini,” ujarnya.

Untuk rekod Malaysia dan China mempunyai hubungan perdagangan yang sangat penting di Asia dengan nilai perdagangan dua hala sebanyak RM541.90 bilion - meningkat 11.9 peratus berbanding 2024.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia merupakan antara rakan dagang utama China dalam kalangan negara ASEAN.

Hubungan perdagangan kedua-dua negara meliputi sektor pembuatan, elektronik, semikonduktor, tenaga, komoditi, automotif, teknologi digital dan infrastruktur.

Pada tahun ini, China menjadi tuan rumah kepada Persidangan APEC yang melibatkan 21 buah negara termasuk Malaysia dengan tema Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Mencapai Kemakmuran Bersama.

Persidangan kali ini berpeluang untuk mengetengahkan agenda ekonomi dan perdagangan serantau ketika ekonomi dunia berhadapan ketegangan geopolitik, persaingan teknologi dan perubahan rantaian bekalan global.