OSK Construction mengukuhkan kedudukannya dalam aspek keselamatan industri pembinaan apabila projek LEA by The Hills di Taman Melawati memperoleh skor 100 peratus dalam penilaian Safety and Health Assessment System in Construction (SHASSIC).
Projek berkenaan meraih SHASSIC Best Safety Award bagi kategori Projek Swasta pada majlis Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) QUEST 2026, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Tertinggi SHASSIC.
Hanya dua anugerah tertinggi itu diberikan berdasarkan penilaian yang dijalankan pada 2025, dengan OSK Construction menjadi satu daripada dua organisasi yang menerima pengiktirafan berkenaan.
Kejayaan tersebut turut membanggakan apabila prestasi keseluruhan 687 penilaian SHASSIC yang dijalankan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025 merekodkan purata skor tahunan antara 85 hingga 88 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Construction, Soh Choon Guan berkata, pencapaian itu mencerminkan budaya tanggungjawab bersama yang diterapkan dalam kalangan seluruh pasukan projek bagi memastikan keselamatan menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan kerja pembinaan.
“Skor SHASSIC yang sempurna bukan sekadar angka. Ia mencerminkan keputusan, disiplin dan tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan sepanjang kerja-kerja pembinaan.
“Menerima satu daripada hanya dua Anugerah Tertinggi SHASSIC menjadikan pengiktirafan ini lebih bermakna, selain merupakan hasil komitmen pekerja, pasukan tapak, subkontraktor dan rakan kongsi kami yang sentiasa mengekalkan standard keselamatan ini setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, keselamatan perlu menjadi standard operasi yang dikekalkan dalam setiap projek, bukannya sekadar sasaran yang ingin dicapai.
Selain pencapaian dalam aspek keselamatan, LEA by The Hills turut memperoleh skor 84 peratus dalam penilaian Quality Assessment System in Construction (QLASSIC) oleh CIDB yang mengukur mutu kerja pembinaan.
Gabungan pencapaian tersebut melengkapkan prestasi pembangunan berkenaan yang telah terjual sepenuhnya dan mula memasuki fasa penyerahan milikan kosong pada Oktober 2026.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune, kejayaan jualan itu mencerminkan keyakinan pembeli terhadap pembangunan berkenaan yang perlu disusuli dengan penyediaan kediaman mengikut standard kualiti yang diharapkan.
“Skor QLASSIC sebanyak 84 peratus, bersama-sama penilaian SHASSIC yang mencapai 100 peratus serta pengiktirafan daripada CIDB Malaysia membuktikan komitmen OSK Construction dan seluruh pasukan projek.
“Kami berbangga kerana LEA by The Hills berjaya disiapkan dengan tahap kualiti dan perhatian yang diharapkan oleh pemilik rumah daripada kami. Perkara ini turut memainkan peranan penting dalam kejayaan keseluruhan pembangunan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, OSK Construction akan terus meningkatkan keupayaan operasi dan pelaksanaan projek dengan memberikan perhatian kepada aspek keselamatan, mutu kerja serta pengurusan tapak yang sistematik.
Untuk rekod, SHASSIC merupakan sistem penilaian bebas yang dibangunkan oleh CIDB bagi mengukur prestasi keselamatan dan kesihatan kontraktor menerusi semakan dokumentasi, pemeriksaan tapak serta temu bual dengan petugas pembinaan.
Penilaian itu merangkumi keberkesanan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), termasuk pelaksanaan langkah keselamatan serta komitmen pihak pengurusan di tapak pembinaan.
Daripada 619 permohonan penilaian yang diterima menerusi program kualiti, keselamatan dan kelestarian CIDB QUEST 2026, hanya 164 projek berjaya memperoleh pengiktirafan cemerlang atau peringkat tertinggi.