GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan Tanjung Bungah memasuki hari kedua dengan kawasan pencarian diperluaskan kepada 94.76 batu nautika persegi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sehingga jam 9 pagi Isnin, mangsa yang merupakan seorang doktor berusia 74 tahun masih belum ditemukan.
Menurutnya, operasi pencarian yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu melibatkan penggunaan sebuah bot Maritim Malaysia, dua bot JBPM, sebuah bot polis, sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua bot pasukaj bomba sukarela (PBS).
"Operasi turut dibantu sebuah helikopter Maritim Malaysia iaitu MAR 259 bagi melaksanakan pencarian dari udara.
"Kawasan pencarian pada hari kedua dibahagikan kepada lima sektor pencarian laut dan satu sektor pencarian udara di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, John berkata, Pasukan Keluaran Operasi JBPM pula menjalankan pencarian di permukaan air dalam lingkungan radius 1.36 batu nautika persegi.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan JBPM menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.42 malam Ahad berhubung kehilangan seorang lelaki ketika melakukan aktiviti luncur angin di Tanjung Bungah.
Susulan daripada itu, bomba mengaktifkan Pos Kawalan Bomba (PKB) di kelab renang berkenaan bagi menyelaras gerak kerja pencarian.
Operasi berkenaan turut membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal serta BBP Butterworth dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Agensi lain yang terlibat termasuk Maritim Malaysia, polis, APM serta PBS Sungai Keluang dan Bukit Bendera.