ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000 kepada 5,031 anggota pentadbiran dan penjawat awam sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM15 juta.
"Pembayaran akan dibuat sebanyak tiga kali iaitu pada Disember 2026 sebagai persiapan persekolahan, Februari 2027 sempena Aidilfitri dan Ogos 2027 pada bulan Kemerdekaan," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Ahad.
Beliau dalam masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas sokongan padu, pandangan bernas, komitmen tidak berbelah bahagi dalam memastikan tadbir urus telus serta berintegriti di samping menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
Jelas beliau, penghargaan turut ditujukan kepada seluruh jentera penjawat awam negeri dan persekutuan yang berkhidmat di Negeri Kedah.
"Gerak kerja cemerlang tuan-tuan dan puan-puan di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri.
"Sesungguhnya, kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran adalah kunci kejayaan kita dalam membangunkan Negeri Kedah yang kita cintai ini," jelas beliau.