NIBONG TEBAL – Seramai 95 mangsa daripada 26 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan di sekitar Nibong Tebal dan Sungai Jawi, pada Ahad.
Kesemua mangsa membabitkan 71 orang daripada 23 keluarga di Jalan Sekolah, Kampung Sekolah, di sini manakala 24 lagi daripada tiga keluarga di Kampung Sethu, Sungai Jawi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 7.15 malam sebelum jentera tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
Menurutnya, kejadian banjir di kawasan berkenaan menyebabkan beberapa rumah dinaiki air sehingga paras dianggarkan lima meter selain terdapat penduduk yang terperangkap di dalam kediaman masing-masing.
“Pos Kawalan Bomba turut dibuka berhampiran Masjid Sungai Kecil bagi menyelaras operasi menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, operasi menyelamat dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran.
"Kesemua mangsa kemudian dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Sungai Kechil untuk mendapatkan perlindungan sementara," ujarnya.
Dalam kejadian berasingan, John berkata, BBP Sungai Bakap menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat di Kampung Sethu, Sungai Jawi pada jam 10.34 malam.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.56 malam dan mendapati beberapa rumah dinaiki air pada paras dianggarkan 0.91 meter.
“Hasil pemantauan mendapati seramai 24 mangsa daripada tiga keluarga terperangkap di dalam rumah sebelum operasi menyelamat dilakukan bersama agensi lain.
“Kesemua mangsa turut dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Sungai Kechil,” katanya.
Beliau menambah, daripada keseluruhan 95 mangsa yang dipindahkan, seramai 46 orang merupakan dewasa, 24 warga emas, 32 kanak-kanak dan tiga bayi.
"Bagi kejadian di Kampung Sekolah, Nibong Tebal, mangsa terdiri daripada 17 lelaki dewasa dan 15 wanita dewasa, selain empat lelaki warga emas dan 10 wanita warga emas.
"Turut terlibat ialah 11 kanak-kanak lelaki, 11 kanak-kanak perempuan serta tiga bayi perempuan," katanya.
Sementara itu, bagi kejadian di Kampung Sethu, John berkata, mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita dewasa selain tiga kanak-kanak lelaki serta tujuh kanak-kanak perempuan.
"Data jumlah mangsa berkenaan diperoleh daripada PPS Dewan Serbaguna Sungai Kecil.
"Operasi menyelamat di Kampung Sethu berakhir pada jam 1.46 pagi manakala operasi di Kampung Sekolah, Nibong Tebal ditamatkan pada jam 1.59 pagi, Isnin selepas paras air didapati beransur surut dan keadaan di lokasi disahkan selamat," katanya lagi.
Menurutnya, operasi di kedua-dua lokasi melibatkan keseluruhan 25 anggota bomba termasuk penyelia, dengan penggunaan jentera serta kenderaan operasi termasuk dua jentera FRT/LFRT, sebuah CFRT, dua RRV/Hilux operasi dan sebuah Triton.
"Bantuan turut diberikan oleh PBS Nibong Tebal, Sungai Jawi dan Parit Buntar yang menggerakkan tiga bot bagi membantu operasi menyelamat.
"Tiada laporan mengenai sebarang bahaya lain di kedua-dua lokasi selepas pemeriksaan dan pemantauan dilakukan sebelum operasi ditamatkan," katanya lagi.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek turun padang meninjau keadaan penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan sekitar Sungai Kechil, di sini, malam Ahad.
Beliau bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil sejurus menerima maklumat kejadian berkenaan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.