MB, 10 Exco tarik balik surat makluman pelucutan takhta Tuanku Muhriz?

Iklan
Ismail Lasim bersama 10 Exco didakwa menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpon Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 September 2026 berkenaan status Tuanku Muhriz.

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) didakwa menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpon Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 September 2026 berkenaan status Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menerusi surat bertarikh 10 November yang tersebar, Ismail memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.

Iklan
Iklan

"Perintah mahkamah mengekalkan status quo kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

"Keputusan ini dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur," katanya dalam surat berkenaan.

Iklan

Dalam surat sama, Ismail bersama 10 Exco turut menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

Mereka turut mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu agar segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab dan beradat.

Iklan

"Kami berpandangan bahawa usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,"katanya.

Surat berkenaan turut ditandatangani Ismail dan 10 Exco yang telah diwartakan pembatalan pelantikan mereka iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada Ismail berhubung surat berkenaan.