PRN Melaka: Sewa bazar Ramadan Klebang, jawatankuasa masjid antara fokus Mohamad Ali

Iklan
Mohamad Ali ketika walkabout di Pantai Klebang bertemu pengundi dan peniaga.

TANGGA BATU – Aduan berhubung kadar sewa tapak Bazar Ramadan yang terlalu tinggi serta isu pelantikan jawatankuasa masjid antara perkara yang akan diberi perhatian oleh calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mohamad Ali berkata, beliau mahu persatuan peniaga di Pantai Klebang diberi peranan menguruskan Bazar Ramadan bagi memastikan kadar sewa tapak dapat diminimumkan, sekali gus tidak membebankan golongan peniaga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar sewa antara RM7,000 hingga RM7,500 yang dikenakan pada tahun lalu disifatkan terlalu tinggi, lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi tidak begitu baik sehingga menyebabkan ada peniaga gagal memperoleh keuntungan.

“Jika ada keuntungan sekalipun, jumlahnya terlalu kecil. Saya mahu menyarankan kepada kerajaan supaya melihat semula kaedah pengurusan Bazar Ramadan ini agar tidak hanya memberi keuntungan kepada satu pihak, sedangkan peniaga pula dihempit kesusahan.

Iklan

“Jika diberi peluang, saya mahu persatuan peniaga di Pantai Klebang menguruskan bazar berkenaan dengan bayaran minimum. Keuntungan kecil yang diperoleh boleh dimasukkan ke dalam tabung persatuan, manakala peniaga tidak terbeban dengan kadar sewa yang terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pada program kempen PRN Melaka di sini.

Mohamad Ali (kanan) semasa walkabout di Pantai Klebang bertemu pengundi dan peniaga.

Iklan

Selain itu, Mohamad Ali berkata, beliau turut menerima aduan penduduk berhubung pelantikan jawatankuasa masjid yang didakwa lebih cenderung dipengaruhi oleh kepimpinan politik.

Katanya, pengurusan lembaga masjid sepatutnya melibatkan anak kariah, termasuk dalam proses pelantikan jawatankuasa, bagi memastikan kepentingan masyarakat setempat terpelihara.

“Ini antara isu yang akan saya bangkitkan kerana ada penduduk meminta supaya jawatankuasa masjid tidak dilantik berdasarkan kepimpinan parti politik yang memenangi kawasan berkenaan.

“Sepatutnya lembaga masjid diuruskan oleh anak kariah dan pelantikan dibuat oleh anak kariah sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, antara fokus lain di DUN Klebang ialah menangani masalah banjir serta memperjuangkan kebajikan nelayan, khususnya di kawasan Sungai Lereh.

Katanya, nelayan di kawasan berkenaan berdepan kesukaran untuk keluar masuk menggunakan bot kerana perlu menunggu air pasang.

Masalah itu melibatkan nelayan di kedua-dua belah Sungai Lereh yang terletak di bawah kawasan DUN Pantai Kundor dan Klebang.

“Saya mahu perkara ini diberi perhatian supaya pihak bertanggungjawab dapat mencari penyelesaian demi kepentingan dan kebajikan nelayan terbabit.

“Masalah bot yang sukar keluar masuk kerana perlu menunggu air pasang antara perkara yang mahu saya perjuangkan,” katanya.

Mengulas penerimaan penduduk, Mohamad Ali berkata, beliau sudah mengunjungi semua kampung dalam kawasan DUN Klebang sejak selesai proses penamaan calon dan setakat ini menerima sambutan positif.

Katanya, pengenalan penduduk terhadap dirinya turut memudahkan beliau menjelaskan sebab menawarkan diri untuk bertanding di kawasan berkenaan.