SEREMBAN - Undang Luak Jelebu yang tidak dipertikaikan iaitu Datuk Azrin Khairi memohon deklarasi Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa beliau merupakan Undang Luak Jelebu ke-17 yang sah seperti mana yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Oktober 2026.
Dalam permohonan yang dibuat di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain, beliau turut memohon deklarasi supaya Datuk Maarof Mat Rashad telah diberhentikan daripada jawatan dan gelaran sebagai Undang Luak Jelebu Yang Ke-16 berkuat kuasa pada 31 Mei 2023.
Pemberhentian itu, menurut permohonan berkenaan, dibuat selepas dinasihatkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam persidangan pada 31 Julai lalu sebelum diwartakan pada 23 Oktober 2026.
Selain itu, Azrin turut memohon injunksi kekal bagi menghalang Maarof daripada menggunakan gelaran Undang Luak Jelebu, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman atau Yang Teramat Mulia, selain menjalankan sebarang fungsi jawatan berkenaan.
Permohonan berkenaan bertujuan menghalang Maarof daripada mengadakan atau menghadiri sebarang majlis dan istiadat adat atas kapasiti sebagai Undang Luak Jelebu, termasuk Majlis Pengukuhan Adat dan Pemegang Pesaka Luak Jelebu yang dijadualkan berlangsung pada 15 November ini.
Selain itu, Azrin memohon agar Maarof dihalang daripada melantik atau melucutkan mana-mana pemegang pesaka dan jawatan adat, mengeluarkan dokumen rasmi menggunakan nama Undang Luak Jelebu serta menggunakan Balai Undang Luak Jelebu bagi tujuan berkenaan.
Beliau turut memohon injunksi mandatori yang mengarahkan Maarof menurunkan, memadam dan menarik balik segala poster, hantaran, kenyataan serta bahan yang menghebahkannya sebagai Undang Luak Jelebu dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
Dalam prosiding terbabit, mahkamah turut mendengar permohonan Azrin bagi mendapatkan injunksi interim secara ex-parte bagi menghalang Maarof daripada bertindak sebagai Undang Luak Jelebu sementara menunggu pelupusan kes.
Bagaimanapun, Roz Mawar mengarahkan permohonan tersebut diteruskan secara inter-parte, iaitu dengan kehadiran kedua-dua pihak selain memastikan notis permohonan berkenaan diserahkan kepada Maarof.
Beliau turut menolak permohonan Azrin untuk mendapatkan perintah ad-interim selepas mendapati tiada alasan kukuh untuk membenarkan perintah berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh pendengaran bagi kedua-dua permohonan berkenaan secara sidang video.