DALAM usaha memastikan ekosistem industri halal negara terus kekal kukuh, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pasaran global, pembangunan bakat serta profesional eksekutif halal sepatutnya terus diberi keutamaan.
Demikian antara fokus utama yang diketengahkan Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa pada edisi kelima Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal (PEH).
Menurutnya, eksekutif halal memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam memastikan pelaksanaan syariah dan pematuhan terhadap standard pensijilan halal Malaysia di peringkat industri.
"Jadi, anda semua merupakan pasukan barisan hadapan dalam pelaksanaan dan pematuhan syariah serta standard pensijilan halal Malaysia dan benteng mempertahankan halal di lapangan industri," katanya ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 350 peserta PEH26 di Bangi Avenue Convention Centre di Bangi baru-baru ini.
Persidangan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Datuk Mohd Asri Abdullah; Pengarah UNITI Halal Centre (UHAC), Muhamad Elyas Harun dan Profesor Adjung Universiti Islam Selangor, Datin Hakimah Mohd Yusoff.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kolej UNITI antara yang terawal menawarkan pengajian khusus dalam bidang halal menerusi Diploma Pengurusan Industri Halal pada 2013.
Malah, Kolej UNITI turut diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Pusat Latihan Halal sejak 2018.
Beliau berkata, Kolej UNITI dan UHAC komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan kapasiti dan bakat halal negara, serantau serta global melalui pelbagai inisiatif pendidikan, latihan profesional, bengkel, seminar dan persidangan.
GHS inisiatif perkasa eksekutif halal
Jelasnya, perkembangan industri halal dunia yang semakin pesat turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga profesional yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kompetensi tinggi, malah berdaya tahan serta memiliki kemahiran kepimpinan.
“Sehubungan itu, Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih besar sebagai negara pengeksport bakat dan kepakaran halal ke seluruh dunia,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya turut memperkenalkan pendekatan pendidikan dan latihan termasuk program Halal Edutourism di dalam dan luar negara yang membawa peserta turun ke lapangan melihat sendiri pelaksanaan halal dalam industri.
Selain itu, pihaknya turut memperluas usaha memperkasakan lagi eksekutif halal dan bakat halal menerusi pengenalan Global Halal School (GHS) iaitu platform pembelajaran halal secara kendiri berasaskan teknologi digital.
"Melalui platform itu, pembelajaran halal menjadi lebih fleksibel, mudah diakses dan mampu dimanfaatkan tanpa kekangan masa serta lokasi,” jelasnya.
Beliau turut mengajak pemain utama industri halal untuk menjalin kerjasama strategik dengan Kolej UNITI dan UHAC bagi memperkukuh pembangunan bakat serta melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat bersama.
Usaha itu katanya, penting bagi memastikan Malaysia bukan sahaja terus dikenali sebagai peneraju pensijilan halal, malah berupaya melahirkan tenaga profesional yang menjadi rujukan dan memenuhi keperluan industri halal dunia.