SIJIL Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) menjadi nilai tambah yang mampu meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang lebih luas kepada pemain industri menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan, sijil halal Malaysia diiktiraf lebih 50 negara di seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara penanda aras penting dalam industri halal global.
Menurutnya, sebanyak 101 badan pensijilan halal luar negara diiktiraf Jakim dan ia mencerminkan kedudukan Malaysia dalam memastikan standard serta integriti pensijilan halal di peringkat antarabangsa.
"Jadi, apabila Kopihut berjaya mendapatkan sijil halal ini, ia sudah menjadi champion in the world," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Halal Kopihut di Cyberjaya baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, kerajaan turut menyediakan insentif menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pensijilan halal.
“Geran sebanyak RM5,000 disediakan kepada PMKS bagi tujuan itu, manakala insentif RM25,000 pula diperuntukkan untuk membantu syarikat dalam sektor kosmetik dan farmaseutikal mendapatkan pensijilan halal.
Keyakinan pengguna meningkat
Menurut Dr Zulkifli, pensijilan halal turut memberikan kesan positif kepada perkembangan perniagaan apabila keyakinan pengguna terhadap sesebuah produk atau premis meningkat.
Beliau berkongsi pengalaman ketika mengunjungi sebuah restoran di Kuching, Sarawak yang menyaksikan peningkatan keuntungan selepas memperoleh sijil halal.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan syarikat yang memperoleh keuntungan hasil perkembangan perniagaan supaya turut menunaikan tanggungjawab sosial menerusi pembayaran zakat.
Katanya, Pusat Pungutan Zakat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan program wakalah yang membolehkan sebahagian daripada bayaran zakat diagihkan semula kepada pihak yang layak, termasuk golongan asnaf mengikut ketetapan ditentukan.
Halal nilai sejagat
Mengulas lanjut mengenai konsep halal, Dr Zulkifli berkata, ia tidak seharusnya dilihat sebagai perkara eksklusif untuk umat Islam semata-mata, sebaliknya membawa nilai sejagat yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat.
Jelasnya, konsep halalan toyyiban merangkumi aspek kebersihan, kelestarian, kesihatan dan keberkatan, sekali gus menjadikan pensijilan halal relevan kepada pengguna tanpa mengira agama dan bangsa.
"Halal bukan hanya bersih, tetapi turut merangkumi aspek sustainable (kelestarian), kesihatan dan keberkatan. Ia satu konsep universal yang boleh diterima semua pihak.
Beliau turut memuji usaha Adam Corrie yang mengambil inisiatif mendapatkan pensijilan halal bagi perniagaannya, sekali gus memperlihatkan komitmen untuk menjadikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan lebih inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, usaha tersebut juga selari dengan semangat keterangkuman dalam industri halal yang membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama membangunkan sektor itu.