PENDEDAHAN mengenai sebuah premis penyembelihan ayam di Puchong, Selangor yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak wajar dipandang serius.
Menurut laporan media, lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas dan terdapat dakwaan ayam mati akibat renjatan elektrik sebelum disembelih.
Premis itu juga dilaporkan telah beroperasi sejak 2004. Siasatan masih perlu menentukan fakta sebenar, namun persoalan tentang tanggungjawab pengusaha tidak boleh diketepikan.
Syarikat yang menjalankan penyembelihan untuk pasaran Muslim memikul amanah yang berbeza daripada sekadar menghasilkan bekalan mengikut kuantiti dan jadual.
Syarat ketat kaedah renjatan elektrik
Dalam hal ini, penggunaan renjatan elektrik atau stunning perlu difahami dengan tepat. Kaedah pelalian bukan dilarang secara mutlak dalam kerangka halal Malaysia, tetapi penggunaannya tertakluk kepada syarat ketat.
Haiwan mesti masih hidup ketika sembelihan dilakukan. Jika ayam telah mati akibat pelalian sebelum disembelih, tindakan menyembelih selepas itu tidak menjadikan dagingnya halal.
Perbezaan ini penting kerana isu pokok bukan semata-mata kewujudan mesin, sebaliknya cara mesin dikendalikan dan hasilnya terhadap haiwan.
Keperluan tersebut bukan perkara baharu bagi industri. MS 1500:2019 menetapkan keperluan berkaitan pengeluaran makanan halal termasuk penyembelihan.
Syarikat yang memilih untuk beroperasi dalam sektor ini sepatutnya mengetahui kawalan terhadap proses kritikal bukan sesuatu yang boleh dibuat berdasarkan kebiasaan pekerja semata-mata.
Dalam penyembelihan, satu kesilapan pada peringkat kritikal boleh menjejaskan status produk yang dihasilkan. Oleh sebab itu, tempoh operasi yang panjang seharusnya disertai penambahbaikan kawalan, bukannya keyakinan amalan lama pasti betul.
Sekiranya dapatan siasatan mengesahkan ayam mati sebelum disembelih, syarikat perlu menjelaskan bagaimana keadaan tersebut boleh berlaku.
Adakah parameter pelalian dikawal dengan betul? Bagaimana keadaan ayam selepas pelalian diperiksa? Apakah tindakan yang diambil apabila haiwan didapati tidak lagi hidup?
Soalan-soalan ini bukan tuduhan awal, tetapi ukuran asas untuk menilai sama ada pengurusan benar-benar mengawal proses yang dilaksanakannya.
Kenal pasti titik ketidakpatuhan
Dalam pengurusan jaminan halal, prinsip pencegahan lebih penting daripada pembetulan setelah produk diedarkan. Pengusaha mesti mengenal pasti titik yang boleh menyebabkan ketidakpatuhan, menetapkan kawalan yang sesuai dan memastikan pekerja memahami akibat apabila kawalan itu gagal.
Rekod operasi dan pemantauan bukan sekadar dokumen untuk pemeriksaan; kedua-duanya membantu syarikat mengesan masalah sebelum ia menjadi risiko kepada pengguna.
Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan ialah perbezaan antara status pensijilan dengan status hukum sesuatu makanan. Ketiadaan sijil halal tidak secara automatik bermaksud produk itu haram.
Laporan yang menyatakan premis berkenaan dipercayai dimiliki individu Muslim turut menambah dimensi amanah dalam perbincangan ini.
Bagaimanapun, agama pemilik tidak membuktikan pematuhan. Ukurannya tetap pada cara operasi dijalankan.
Seseorang pengusaha tidak boleh bergantung kepada identiti diri untuk mendapatkan keyakinan pelanggan sedangkan aspek teknikal yang menentukan kesahan sembelihan tidak dipelihara dengan sewajarnya.
Kita juga perlu berhati-hati agar tidak menghukum sebelum siasatan selesai. Dakwaan mesti diperiksa, bukti dinilai dan pihak yang terlibat diberikan ruang menjelaskan keadaan sebenar.
Namun prinsip yang ingin ditegaskan tidak bergantung pada keputusan satu kes: syarikat penyembelihan ialah pihak yang paling hampir dengan proses dan paling berupaya mengawal bagaimana haiwan dikendalikan.
Tanggungjawab utama terhadap pelaksanaan sembelihan tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain apabila masalah timbul dalam operasi sendiri.
Pembetulan sebenar menuntut penilaian semula peralatan, latihan, penyeliaan dan kaedah mengesahkan bahawa setiap haiwan memenuhi syarat sebelum disembelih.
Industri halal tidak akan kukuh hanya dengan pertumbuhan pasaran atau permintaan pengguna yang tinggi. Kekuatannya terletak pada kejujuran pengusaha menjaga perkara yang tidak dapat dilihat oleh pelanggan.
Keuntungan ialah tujuan perniagaan yang sah, tetapi ia tidak boleh dicapai dengan mengorbankan ketetapan syarak. Apabila syarikat memilih untuk membekalkan makanan kepada masyarakat Islam, menjaga kesahan proses bukan pilihan tambahan. Itulah tanggungjawab asas yang mesti dilaksanakan tanpa kompromi.
***MUHAMMAD REZA AMIN REZA ADNAN merupakan Fellow penyelidik International Centre for Halal Studies (ICHLAS), Management and & Science University (MSU)