PENSIJILAN halal bukan sekadar pengiktirafan terhadap status sesuatu produk atau premis makanan, sebaliknya menjadi amanah yang perlu dipelihara secara berterusan oleh setiap pengusaha.
Kesedaran itulah yang menjadi pegangan Pengasas dan Pengarah Kopihut, Adam Corrie Lee Abdullah yang melihat pematuhan halal bukan hanya keperluan perniagaan, malah satu pendekatan menyampaikan nilai Islam kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Menurutnya, penglibatan beliau dalam industri makanan dan minuman (F&B) sejak pembukaan restoran Kopihut dua tahun lalu bukan semata-mata mencari keuntungan, tetapi turut membuka ruang dakwah melalui amalan kerja yang berlandaskan prinsip Islam.
“Saya sentiasa percaya bahawa setiap pekerjaan dan perniagaan yang kita lakukan boleh menjadi sebahagian daripada ibadah sekiranya dilaksanakan dengan niat betul dan penuh amanah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Halal Kopihut yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan di Cyberjaya baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman; Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Faizal Abdul Raji dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Salman Idrus.
Menurut pelakon filem KL Gangster itu, Kopihut berjaya memperoleh sijil halal Jakim untuk cawangan pertamanya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dan tiga daripada kesemua 30 premis Kopihut kini dalam proses kelulusan Jakim.
Ujarnya, ia sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh keyakinan pengguna terhadap komitmen halal jenama itu.
Amanah setiap hari
Bagaimanapun beliau mengakui proses mendapatkan pensijilan halal bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan komitmen, disiplin, dokumentasi, pemantauan serta kerjasama menyeluruh daripada semua kakitangan dan pembekal.
“Bagi kami, halal bukan sekadar sekeping sijil yang dipamerkan di dinding. Halal ialah amanah yang mesti dijaga setiap hari.
“Kami sedar cabaran sebenar bukan sekadar mendapatkan sijil, tetapi mengekalkan pematuhan serta memastikan setiap kakitangan memahami tanggungjawab masing-masing," ujarnya.
Sehubungan itu ujarnya, Kopihut merancang untuk memperluas usaha mendapatkan pensijilan halal kepada semua cawangan yang lain.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jakim atas bimbingan dan panduan sepanjang proses pensijilan berjalan.
Tanggungjawab zakat
Selain memberikan perhatian terhadap aspek pematuhan halal, beliau juga melihat tanggungjawab sosial dan kewajipan agama sebagai sebahagian daripada asas membina perniagaan yang diberkati.
Atas kesedaran itu, syarikat berkenaan mengambil langkah menunaikan zakat perniagaan melalui PPZ-MAIWP.
Menurut Adam Corrie, kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keberkatan rezeki dan manfaat yang dapat dikongsikan bersama masyarakat.
Pendekatan itu mencerminkan usaha Kopihut untuk berkembang bukan sahaja sebagai sebuah perniagaan yang berdaya maju, tetapi turut mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab kepada agama dan masyarakat.
Beliau berharap sokongan pelanggan serta kepercayaan masyarakat terhadap Kopihut akan terus menjadi pemangkin untuk syarikat berkenaan memperkukuh komitmen dalam industri F&B.
Titik berat kebajikan pekerja
Mengulas mengenai pekerja yang menjadi tulang belakang Kopihut, Adam Corrie menegaskan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan.
Ujarnya, hubungan antara majikan dengan pekerja perlu berlandaskan sikap saling memerlukan dan bukannya sekadar arahan daripada atasan semata-mata.
“Saya memerlukan mereka dan mereka juga memerlukan saya. Jadi, hubungan antara majikan dengan pekerja bukan sekadar saya menjadi bos dan semua orang perlu mengikut arahan saya.
“Sebagai seorang pekerja dahulu, saya juga pernah merasakan kebajikan saya tidak dijaga oleh majikan. Namun, sekarang bukanlah saya mahu membalas dendam terhadap sesiapa," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menitikberatkan mengenai aspek ibadah terutamanya solat kepada pekerjanya, lebih-lebih lagi solat Jumaat.
“Dua jam itulah keberkatan saya. Kalau dia tak pergi solat sayalah kena tanggung dosanya,” jelasnya.