LBS perluas pasaran, sasar segmen kediaman mewah

Iklan
Hock San (kiri) bergambar di hadapan model pembangunan The Reserva, Kwasa Damansara sempena majlis pelancaran projek itu pada Rabu.

PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) memperluas pasaran hartanah ke segmen sederhana tinggi dan kediaman mewah selain mengekalkan pembangunan rumah mampu milik yang menjadi antara fokus kumpulan itu sebelum ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, kedua-dua segmen itu akan terus menjadi sebahagian daripada penawaran syarikat bagi memenuhi keperluan pembeli daripada pelbagai kumpulan pendapatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan kediaman mewah turut diberi perhatian menerusi penyediaan spesifikasi dan kelengkapan lebih moden termasuk teknologi yang diteliti pihak pengurusan ketika mengadakan lawatan ke China.

"Sudah tentu kita akan terus membangunkan rumah mampu milik seperti yang digalakkan kerajaan.

Iklan

"Selain itu, kita juga akan meneroka segmen sederhana tinggi dan kediaman mewah," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan The Reserva, Kwasa Damansara di sini pada Rabu.

Projek kediaman pertama di bawah The Reserva dibangunkan di atas kawasan seluas 9.9 hektar dengan jumlah keseluruhan 196 unit rumah.

Iklan

Daripada jumlah itu, ia merangkumi lapan unit banglo, 80 unit rumah berkembar dan 100 unit superlink.

Pembangunan berkepadatan rendah itu turut dilengkapi sebuah rumah kelab eksklusif berkeluasan kira-kira 18,000 kaki persegi yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan penghuni.

Antara kemudahan disediakan termasuk dewan serbaguna, kolam renang, gimnasium, bilik permainan dan ruang santai.

Mengulas lanjut, Hock San memberitahu, antara ciri bakal ditawarkan dalam pembangunan itu termasuk lif persendirian, sistem penyimpanan air untuk kegunaan sehingga tiga hari, persediaan pengecas kenderaan elektrik (EV), panel solar dan sistem penuaian air hujan.

Katanya, pihak pengurusan turut meneliti penggunaan lif berteknologi tinggi dari China bagi memastikan kelengkapan dipilih bersesuaian dengan konsep kediaman mewah itu.

Dalam perkembangan sama, katanya, pembangunan The Reserva turut dikelilingi kawasan taman hutan seluas 19.6 hektar yang menjadi antara tarikan utama projek kediaman itu.

Hock San berkata, kewujudan kawasan itu membolehkan penduduk melakukan aktiviti riadah dan senaman tanpa perlu memandu jauh untuk mendapatkan kemudahan rekreasi.

"Jika tinggal di kawasan ini, pada waktu pagi sekitar jam 5 atau 6, penduduk tidak perlu memandu ke tempat lain untuk bersenam kerana sudah ada taman dan laluan rekreasi berhampiran kediaman," ujarnya.

Selain itu, katanya, pembangunan projek itu turut dirancang sebagai sebuah kawasan pembangunan hijau dengan sembilan taman awam serta laluan berjalan kaki dan berbasikal sepanjang 27.72 kilometer.

Mengulas mengenai harga jualan, Hock San berkata, harga kediaman itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan lagi.

"Pihak kami masih meneliti spesifikasi dan kelengkapan yang akan disediakan sebelum harga jualan diumumkan," ujar beliau.