USAHA memperkukuh kesejahteraan kewangan komuniti Orang Asli terus diberi perhatian, terbaharu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Agrobank yang memberi tumpuan kepada pendidikan kewangan, perlindungan takaful dan sokongan pendidikan.
Program berkenaan melibatkan komuniti Orang Asli suku Jakun yang mempunyai kira-kira 370 penduduk daripada 126 keluarga, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan kemudahan perbankan.
Menerusi inisiatif tersebut, Agrobank menyediakan bimbingan pengurusan kewangan, penggunaan perkhidmatan digital serta kemudahan pembukaan akaun tanpa memerlukan penduduk hadir ke cawangan bank.
Malah, ia turut merangkumi penawaran Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus dengan nilai perlindungan keseluruhan RM1.34 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, keterangkuman kewangan perlu mengambil kira cabaran sebenar masyarakat pedalaman, termasuk faktor jarak, kemudahan dan tahap pendedahan terhadap perkhidmatan kewangan.
Menurutnya, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan institusi kewangan memahami keperluan komuniti setempat dan menyediakan bantuan yang bersesuaian.
"Inilah antara peranan yang perlu dimainkan oleh institusi kewangan pembangunan supaya lebih ramai masyarakat dapat mengambil bahagian dalam sistem kewangan formal," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Peta, Rampuyan Kantan berkata, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan wang, amalan menabung dan urusan perbankan.
Beliau berkata, kehadiran Agrobank ke kampung berkenaan amat bermakna memandangkan kedudukannya yang jauh dari bandar menyukarkan penduduk mendapatkan perkhidmatan perbankan secara fizikal.
"Kami mahu masyarakat di sini lebih mengambil tahu tentang perkara-perkara seperti ini, terutamanya apabila kes penipuan kewangan atau scam semakin berleluasa.
"Program seperti ini perlu diperluas supaya masyarakat Orang Asli mendapat lebih banyak pengetahuan. Pendidikan anak-anak juga penting kerana apabila mereka dewasa, ilmu dan pengalaman mereka dapat dimanfaatkan untuk membantu keluarga, terutama apabila ibu bapa semakin berusia," katanya.
Selain aspek kewangan, Agrobank turut menyalurkan sumbangan peralatan teknologi pendidikan dan barangan keceriaan kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Peta bagi membantu menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Abdul Kadir Ibrahim berkata, sumbangan tersebut amat bermakna dalam membantu pihak sekolah memperluas penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, kemudahan papan interaktif digital yang disumbangkan dapat memberikan pendedahan lebih luas kepada murid, khususnya dengan akses internet di kawasan berkenaan yang semakin baik.
"Kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman menjadikan sumbangan daripada pihak luar amat penting bagi membantu meningkatkan kemudahan pembelajaran.
"Kami berharap kerjasama seperti ini dapat membantu murid Kampung Peta terus maju dan memberikan peluang kepada mereka untuk bersaing secara setara dengan murid di kawasan lain," katanya.