KUMPULAN AmBank menzahirkan komitmen membantu pelanggan individu dan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir di Selangor, khususnya di Shah Alam, Klang serta kawasan lain yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menerusi Program Bantuan Banjir, pelanggan layak mendapat moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran pembiayaan bulanan selain pengecualian caj sampingan dan caj penggantian bagi buku cek, kad ATM, kad debit serta kad kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pihaknya bersedia membantu pelanggan yang terjejas bagi meringankan beban kewangan mereka ketika berdepan situasi sukar akibat bencana itu.
"Kami berdoa urusan mereka yang terjejas dipermudahkan dan usaha pemindahan dan operasi menyelamat berjalan lancar.
"Kami juga bersedia memberi bantuan kepada para pelanggan sebaik mungkin bagi meringankan beban kewangan sekaligus memberi ruang untuk mereka yang terjejas menumpu kepada pemulihan dan pembinaan semula kehidupan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut AmBank, bantuan berkenaan bertujuan memberi ruang kepada pelanggan untuk memberi tumpuan kepada usaha pemulihan dan membina semula kehidupan selepas dilanda banjir.
Pelanggan yang ingin membuat permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Banjir boleh melayari laman sesawang https://www.ambank.com.my/repayment-assistance/flood-relief-programme.
Dalam pada itu, pelanggan dinasihatkan menggunakan aplikasi atau laman web AmOnline bagi memenuhi keperluan perbankan masing-masing.
Bagi mendapatkan bantuan lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan AmBank di talian 03-2178 8888 yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam.
Pelanggan juga boleh hadir ke cawangan AmBank untuk mendapatkan bantuan apabila keadaan mengizinkan.
Sementara itu, pelanggan PKS serta korporat digalakkan menghubungi pengurus perhubungan masing-masing bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan.