RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik berikutan harapan konflik antara AS dan Iran akan reda.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0540/0580 berbanding dolar AS daripada paras 4.0565/0610 ketika ditutup pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan itu berlaku susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump memberitahu bahawa tiada keperluan untuk melakukan serangan selanjutnya terhadap Iran.
"Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini, berlegar antara RM4.0510 dan RM4.0590. Pada jam 5.05 petang, ringgit berada pada paras RM4.0547, mengukuh sebanyak 0.11 peratus berbanding ketika ditutup pada Jumaat lalu,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, trend itu seiring dengan penurunan Indeks Dolar AS, susut 0.14 peratus kepada 101.51, manakala harga minyak mentah Brent terus mencatatkan penurunan kepada US$89.89 setong.
"Buat masa ini, jangkaan mengenai ketegangan konflik di Iran bakal reda telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5642/5669 daripada 2.5616/5646, turun berbanding euro kepada 4.5514/5559 daripada 4.5315/5365 dan menguncup berbanding pound Britain kepada 5.4425/4479 daripada 5.4304/4365 ketika ditutup pada Jumaat.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Mata wang tempatan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1726/1758 daripada 3.1657/1694, susut berbanding baht Thailand kepada 12.1337/1497 daripada 12.0898/1105 sebelum itu, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 224.4/224.7 daripada 224.2/224.6 dan menguncup berbanding peso Filipina kepada 6.44/6.45 daripada 6.43/6.44 sebelumnya.- Bernama