WASHINGTON – Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) menyekat usaha memecat Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth selepas majoriti anggota Republikan bergabung menolak resolusi yang dikemukakan seorang anggota parti itu, Thomas Massie.
Undian pada Selasa menyaksikan usul untuk mengembalikan perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan bagi menghentikan usaha pemecatan itu diluluskan dengan 211 undi berbanding 204.
Keputusan itu sekali gus menggagalkan buat masa ini usaha menyingkirkan Hegseth daripada jawatan ketua Pentagon berhubung tindakannya ketika memegang jawatan serta pengendalian perang terhadap Iran.
Undian berkenaan berlangsung ketika Parti Republikan sedang berdepan kesan kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal, yang sebahagiannya dikaitkan dengan perang di Iran dan peningkatan harga petrol susulan konflik berkenaan.
Bagaimanapun, selepas Presiden Donald Trump menyatakan sokongan padu terhadap Hegseth, kebanyakan anggota Republikan terus mempertahankan Setiausaha Pertahanan itu dalam undian yang hampir mengikut garis parti.
Usaha berkenaan diketuai Massie, wakil Republikan dari Kentucky dan turut mendapat sokongan anggota Demokrat.
Bagaimanapun, keputusan undian itu mungkin hanya melengahkan usaha pemecatan Hegseth memandangkan Demokrat dijangka mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat pada Januari depan.
Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries yang dijangka menjadi Speaker seterusnya apabila parti itu mengambil alih pada Januari, menyokong usaha berkenaan.
Beliau mendakwa Hegseth menyalahgunakan kuasa dan menjejaskan keselamatan negara AS.-Agensi