Merak 'lari rumah’ ditemukan sedang 'melaram' depan cermin

Iklan
Seekor burung merak peliharaan yang mencetuskan operasi pencarian besar-besaran selepas ‘menceroboh’ sebuah rumah.

BRISBANE – Seekor burung merak peliharaan yang mencetuskan operasi pencarian besar-besaran selepas ‘menceroboh’ sebuah rumah di Brisbane, Australia, akhirnya berjaya dipertemukan semula dengan pemiliknya selepas seminggu berkeliaran dan hampir maut akibat serangan kutu.

Burung merak jantan bernama Hex itu sebelum ini ditemui pasangan suami isteri, Geoff dan Delwyn Ballantyne, sedang mengagumi pantulan dirinya di cermin bilik air rumah mereka di Alexandra Hills.

Iklan
Iklan

Pasangan itu keluar untuk minum kopi pada minggu lalu sebelum pulang dan mendapati burung berkenaan berada di dalam bilik air, seolah-olah terpukau melihat bayangannya sendiri.

Pegawai sukarelawan hidupan liar kemudian mengeluarkan Hex dari rumah berkenaan sebelum melepaskannya ke kawasan belukar berhampiran.

Iklan

Bagaimanapun, burung itu tidak terus kembali kepada pemiliknya, sebaliknya mula muncul di beberapa halaman rumah penduduk sekitar Alexandra Hills sehingga mencetuskan operasi pencarian melibatkan ratusan penduduk setempat.

Pergerakan Hex turut dipantau orang ramai menerusi media sosial, dengan penduduk berkongsi maklumat mengenai lokasi terbaharu burung berkenaan.

Iklan

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila Hex berjaya ditangkap di sebuah halaman rumah penduduk pada Khamis.

Namun, kegembiraan pemiliknya, Elliot Ross yang bekerja sebagai artis tatu tempatan dan pasangannya, Cassie Alexander, bertukar menjadi kebimbangan apabila mendapati burung itu dipenuhi kira-kira enam ekor kutu selepas seminggu berkeliaran.

Mereka segera membawa Hex ke sebuah hospital veterinar yang beroperasi 24 jam, namun keadaan burung itu pada awalnya tidak memberangsangkan.

Alexander berkata, mereka meninggalkan klinik berkenaan dengan perasaan amat sedih dan tidak pasti sama ada masih berpeluang melihat haiwan kesayangan mereka itu hidup semula.

Bagaimanapun, doktor veterinar memutuskan untuk mencuba rawatan menggunakan antiserum yang lazimnya digunakan untuk anjing, tetapi turut pernah menunjukkan keberkesanan dalam merawat haiwan lain.

Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila Hex memberikan tindak balas yang sangat baik terhadap rawatan berkenaan.

Selepas pulih, Hex akhirnya dibawa pulang dan dipertemukan semula dengan seekor burung merak betina peliharaan mereka bernama Nyx.

Ross bagaimanapun berpendapat Hex mungkin merayau kerana musim mengawan, selain hanya mempunyai seekor pasangan betina di rumah.

Menurutnya, mereka sebenarnya merancang mendapatkan seekor lagi burung merak betina pada hujung minggu berkenaan, namun usaha itu mungkin sudah terlambat.

“Ketika musim mengawan, mereka mengatakan bahawa adalah lebih baik jika seekor merak jantan mempunyai dua pasangan betina. Jika tidak, burung jantan mungkin akan mencari pasangan di tempat lain,” katanya pada Jumaat.

Individu yang berjaya menangkap Hex ialah rakan mereka, Jordy Barker.

Barker berkata, beliau tidak pernah menangkap burung merak sebelum ini, namun pengalamannya tinggal di sebuah ladang membolehkannya mengendalikan ayam belanda dan ayam.

Katanya, menangkap Hex tidak banyak berbeza daripada menangkap seekor ayam belanda.

Ross menjelaskan, mereka terlebih dahulu mengepung burung itu sebelum menggunakan beberapa helai selimut bagi menutup ruang yang boleh digunakan Hex untuk melarikan diri.

Barker kemudian bertindak pantas menerpa dan memegang kaki burung berkenaan.

“Dia meronta-ronta dengan kuat tetapi Jordy tetap bertahan. Dia memang tidak kenal takut,” kata Ross.

Sementara itu, Profesor Emeritus Universiti Griffith, Darryl Jones, yang juga ahli ekologi bandar dan penulis buku Wild Neighbours, berkata tindakan Hex mengagumi pantulan dirinya mungkin bukan disebabkan keinginan mencari pasangan, sebaliknya berkemungkinan kerana kesunyian.

Jones yang mengkaji tindak balas burung terhadap pantulan imej mereka menjelaskan, kebanyakan burung lazimnya menganggap pantulan itu sebagai pesaing atau ancaman lalu bertindak menyerangnya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Hex mungkin menunjukkan tingkah laku berbeza kerana kesunyian.

“Agak luar biasa untuk dua ekor burung jantan menghabiskan masa bersama, tetapi perkara itu kadangkala berlaku. Burung merak bukanlah haiwan yang begitu bijak. Mungkin ia agak kurang cerdik, tetapi ia tahu bagaimana rupa seekor burung betina,” katanya.

Kisah Hex yang bermula dengan penemuan tidak dijangka di dalam bilik air itu berakhir dengan kepulangan ke rumah, hasil kerjasama penduduk setempat dan tindakan pantas rakannya.-Agensi